NETANYAHU janji mahu rampas Tebing Barat. FOTO/AGENSI
NETANYAHU janji mahu rampas Tebing Barat. FOTO/AGENSI
AFP

Baitulmaqdis: Palestin tidak terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri Israel bahawa rejim Zionis akan merampas kawasan yang kini menjadi penempatan Yahudi di Tebing Barat jika beliau memenangi pilihan raya umum 9 April ini.

Benjamin Netanyahu membuat kenyataan itu hari ini, dalam temuramah dengan stesen televisyen Channel 12. sebagai janji pilihan raya dalam usahanya untuk kekal berkuasa.

Pegawai kanan Palestin, Saeb Erekat berkata, kenyataan Netanyahu mengenai ‘merampas’ itu tidak mengejutkan.

“Israel akan berterusan melanggar undang-undang antarabangsa selagi masyarakat dunia memberi sokongan kepada Israel, terutama oleh pentadbiran Donald Trump (Presiden Amerika Syarikat),” katanya melalui Twitter.

Penempatan Yahudi yang dibina di Tebing Barat selepas wilayah itu ditawan ketika Perang Enam Hari 1967 dikategorikan sebagai haram oleh masyarakat antarabangsa. Pembinaan berterusan penempatan baru menjadi penghalang utama rundingan damai.

Tindakan Israel merampas kawasan di Tebing Barat yang dijajahnya iaitu menjadikannya milik Israel, akan menggagalkan rundingan damai ke arah penyelesaian pengiktirafan dua negara.

Netanyahu sebelum ini berkata, beliau memberitahu Trump Israel tidak akan memindahkan penempatan Yahudi atau penduduk Israel dari Tebing Barat walaupun ia termasuk dalam pelan rancangan damai tajaan Amerika.

Lebih 400,000 penduduk Israel tinggal di Tebing Barat sebagai pendudukan tentera Zionis bersama lebih 2.5 juta penduduk Palestin.

Kira-kira 200,000 lagi penduduk Israel tinggal secara haram di Baitulmaqdis Timur yang turut dijajah Israel dan rejim Zionis sudah mengisytiharkannya sebagai wilayah Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 10:16 PM