PENDATANG haram Yahudi bergelut dengan polis Israel di penempatan yang mereka dirikan secara haram di Amona, timur laut Ramallah ketika usaha mengusir mereka dari kawasan itu dilakukan.  - AFP
PENDATANG haram Yahudi bergelut dengan polis Israel di penempatan yang mereka dirikan secara haram di Amona, timur laut Ramallah ketika usaha mengusir mereka dari kawasan itu dilakukan. - AFP

Amona (Wilayah Palestin): Ratusan polis sempadan Israel semalam mengusir penduduk Yahudi di penempatan haram mereka di Tebing Barat selepas sebuah mahkamah memutuskan mereka membina rumah di tanah milik Palestin.

Pengusiran penduduk haram Yahudi di penempatan yang mereka namakan Amona itu mengakhiri usaha selama beberapa bulan oleh kerajaan pelampau Zionis untuk mengisytiharkan penempatan itu sah.

Ratusan pelampau, kebanyakannya remaja Yahudi membakar tayar sekitar penempatan itu bagi menghalang kerja mengusir pendatang berkenaan.

Ada yang melontar batu ke arah wartawan dan polis.

Masyarakat antarabangsa menganggap semua penempatan Yahudi di tanah Palestin sebagai haram dan pembinaan penempatan itu menjadi penghalang terbesar kepada proses menamatkan konflik Israel-Palestin.

Amona ialah penempatan haram terbesar Yahudi dengan kira-kira 100 rumah yang dibina tanpa kebenaran tetapi secara umumnya disokong rejim Israel.

Bercakap di Parlimen, Menteri Pelajaran Israel, Naftali Bennett yang juga pemimpin Parti Yahudi yang propenempatan menganggap penduduk Amona wira dan berikrar akan membina penempatan baru.

Ketika bersiap sedia untuk mengusir penduduk Amona itu, Israel kelmarin mengumumkan rancangan membina 3,000 lagi rumah di Tebing Barat, pengumuman keempat seumpamanya dalam masa dua minggu sejak Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian pertahanan rejim Zionis itu menyatakan, Menteri Pertahanan Avigdor Lieberman dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memutus untuk meluluskan pembinaan 3,000 rumah baru itu.

Menurutnya, 2,000 unit rumah itu sudah siap untuk dijual sementara bakinya dalam perancangan.

“Kita dalam era baru dengan kehidupan di Judaea dan Samaria (Tebing Barat) akan kembali kepada Yahudi,” kata Lieberman yang turut tinggal secara haram di bumi Palestin di Tebing Barat.

Sejak Trump mengangkat sumpah 20 Januari lalu, Israel meluluskan pembinaan 566 rumah di tiga kawasan yang dijajahnya dan 5,502 lagi di beberapa tempat di Tebing Barat. Khamis lalu, ia meluluskan pembinaan 153 lagi rumah di timur Baitulmaqdis. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 6:27 AM