FOTO ini dirakamkan pada 9 Disember 2016, memaparkan rakyat Palestin di depan penempatan Yahudi di Qadumim (Kedumim) ketika penentangan terhadap pihak keselamatan Israel berikutan Israel merampas tanah di penempatan Kfar Qaddum, dekat Nablus, dalam kawasan Tebing Barat. FOTO AFP
FOTO ini dirakamkan pada 9 Disember 2016, memaparkan rakyat Palestin di depan penempatan Yahudi di Qadumim (Kedumim) ketika penentangan terhadap pihak keselamatan Israel berikutan Israel merampas tanah di penempatan Kfar Qaddum, dekat Nablus, dalam kawasan Tebing Barat. FOTO AFP


MAJLIS Keselamatan PBB mendesak Israel berhenti membina penempatan Yahudi di wilayah Palestin selepas Amerika Syarikat tidak menggunakan kuasa veto untuk menolak ketetapan mengutuk sekutu paling rapatnya di Asia Barat itu.

Dalam langkah yang tidak pernah berlaku, Amerika Syarikat sebaliknya berkecuali membolehkan ketetapan pertama PBB diluluskan bagi mengecam Israel berhubung dasar penempatannya sejak 1979.

Perwakilan yang menghadiri sidang itu bertepukan apabila ketetapan itu diluluskan dengan sokongan 14 darpada 15 negara anggota majlis.

Keputusan bersejarah oleh Majlis itu tercapai walaupun ada usaha yang ketuai Israel dan disokong oleh bakal presiden baru Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghalangnya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta-merta menolak ketetapan itu dan mengecam pentadbiran Presiden Barack Obama kerana enggan menggunakan kuasa vetonya.

Pemimpin Zionis itu juga menuduh anggota majlis keselamatan bukan sahaja gagal melindungi Israel, malah mendakwa mereka turut bersekongkol di belakang tabir.

“€œIsrael menanti masa untuk bekerjasama dengan Presiden Trump dan semua rakan kami di Kongres, baik Republikan dan Demokrat, untuk menangani kesan ketetapan mengarut itu,”€ kata Netanyahu.

Trump pula berjanji akan melakukan perubahan pada badan dunia itu apabila dia menjadi Presiden AS bermula 20 Januari depan.

Duta Amerika Syarikat ke PBB, Samantha Power berkata, punca AS mengambil keputusan tidak mengundi ialah kerana bimbang terhadap peluasan penempatan Yahudi.

Ini kerana ia mengancam penyelesaian dua negara yang dirangka untuk mewujudkan keamanan dengan menubuhkan sebuah negara Palestin di samping Israel.

“Penempatan Yahudi samakin buruk,” katanya.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, keputusan itu memberi tamparan hebat kepada dasar Israel.

Dasar penempatan Yahudi yang dilakukan Israel dilihat sebagai penghalang utama ke arah mewujudkan keamanan kerana pembinaan dilakukan di atas tanah milik warga Palestin yang dianggap sebagai sebahagian daripada negara yang akan mereka tubuhkan pada masa depan.

PBB mengekalkan pembinaan penempatan Yahudi itu haram tetapi pegawai badan dunia itu melaporkan, Israel semakin galak membinanya sejak beberapa bulan lalu.

Pengundian itu diadakan atas permintaan empat negara- New Zealand, Malaysia, Senegal dan Venezuela-€“ selepas Mesir menangguhkan deraf ketetapan itu kerana tunduk kepada desakan Trump.

Selepas ketetapan itu diluluskan, Israel memanggil pulang dutanya ke Senegal dan New Zealand untuk berunding.

Rejim Zionis itu tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Venezuela dan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 4:58 PM