D’MASIV terkenal dengan lagu-lagu melankolik.
D’MASIV terkenal dengan lagu-lagu melankolik.
Zaara Talita


KETIKA mengadakan konsert di Zepp Kuala Lumpur pada Februari lalu, persembahan kumpulan D'Masiv ternyata tidak mengecewakan.

Peminat yang hadir juga berkongsi rasa galau menerusi koleksi lagu-lagu yang disusun kumpulan dari Indonesia itu.

Sejak dikenali di Malaysia, peminat sudah terbiasa dengan pemilihan lagu-lagu D'Masiv yang kebanyakannya bernada melankolik dan mampu mengundang air mata.

Lebih istimewa, pada malam Amazing Concert D'Masiv bertempat di Arena Mega Star, Kuala Lumpur, baru-baru ini, D'Masiv yang ditubuhkan pada 2003 itu turut mempersembahkan single terbaru mereka berjudul Sampai Mati Kan Ku Kejar.

Buat pertama kalinya, single berkenaan yang belum pernah dimainkan di mana-mana pentas dipersembahkan khas buat peminat di Malaysia oleh kumpulan yang dianggotai Rian (penyanyi), Kiki (gitar), Rama (gitar) dan Wahyu (dram).

Rian berkata, Sampai Mati Kan Ku Kejar mengisahkan mengenai individu yang memperjuangkan cinta terhadap orang dikasihinya.

"Lagu ini belum pernah dibawakan di Jakarta dan pertama kalinya dipersembahkan di Malaysia. Saya berharap semua peminat dapat menerima beberapa lagu daripada album kelapan kami. Sudah 21 tahun kami bertapak, tidak sangka sokongan semua tidak pernah berbelah bagi.

"Tempoh itu bukanlah jangka masa yang singkat dan kami bersyukur masih dapat memberikan yang terbaik buat peminat yang juga tulang belakang kami," katanya.

Antara lagu-lagu yang dibawakan oleh D'Masiv adalah Cinta Sampai Di Sini, Natural, Semakin, Berpura-pura, Merindukanmu, Apa Salahku, Rindu yang Tak Pernah Jelas dan Diam Tanpa Kata.

Berjaya membangkitkan emosi dan kesedihan menerusi lagu-lagu popular mereka, D'Masiv turut menyanyikan lagu Rindu Setengah Mati, Sudahi Perih Ini, Diantara Kalian dan Cinta Ini Membunuhku.

Menurut Rian, membuat persembahan di Malaysia juga cukup bermakna bagi mereka kerana mendapat sambutan hangat peminat termasuk yang datang dari Singapura dan Brunei.

Amazing Concert D'Masiv dibawakan oleh JPP Entertainment dari Indonesia dengan kerjasama Creative Page (Malaysia) itu turut menampilkan Mario G Klau yang turut popular dengan seleksi lagu galau ciptaannya.

Paduan vokal dan emosi Mario yang 'memahalkan' lagi genre berkenaan sekali gus mendamaikan emosi pendengar.

Mario yang juga komposer menyanyikan lagu-lagu ciptaannya seperti Pesan Terakhir, Tak Ingin Usai, Tak Dianggap dan Tak Segampang itu.

Bijak berkomunikasi dan mendekati penonton, Mario turut menghadiahkan jaket yang dipakainya kepada seorang peminat yang dapat menyanyikan bait lagunya dengan tepat.

Selain itu, pentas konsert yang berdurasi lebih tiga jam itu turut menampilkan Sarah Suhairi dan Alfie Zumi membuka pentas acara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 6:55 AM