ASAP dilihat di Bukit Golan susulan serangan kumpulan Hizbullah yang menyasarkan kedudukan tentera Israel. FOTO Reuters
ASAP dilihat di Bukit Golan susulan serangan kumpulan Hizbullah yang menyasarkan kedudukan tentera Israel. FOTO Reuters
AFP

Beirut: Kumpulan Hizbullah Lubnan, pada Khamis, melancarkan serangan bertubi-tubi dengan lebih 200 roket dan dron yang menyasarkan kedudukan tentera Israel.

Serangan itu ketika ketegangan memuncak di tengah-tengah perang yang hampir sembilan bulan di Gaza.

Kumpulan yang disokong Iran itu berkata, serangan terbaharunya, yang menyusuli lebih 100 roket dilepaskan pada hari sebelumnya, adalah tindak balas terhadap pembunuhan Israel terhadap seorang komander kanan Hizbullah di selatan Lubnan.

Israel melaporkan tiada kematian di kawasan sempadan utaranya, di mana kebanyakan komuniti sudah dipindahkan, tetapi dengan cepat berkata, ia bertindak balas dengan serangan di selatan Lubnan.

Hizbullah, sekutu kumpulan Hamas Palestin saling berbalas tembakan hampir setiap hari sejak perang Gaza meletus pada 7 Oktober, mencetuskan kebimbangan peningkatan kepada perang berskala besar.

Ketua Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyuarakan kebimbangan pada Rabu mengenai peningkatan serangan balas.

Jurucakapnya, Stephane Dujarric memberi amaran mengenai risiko kepada Timur Tengah yang lebih meluas.

Hizbullah dan Hamas adalah sebahagian daripada 'Paksi Penentangan' yang diketuai Iran menentang Israel dan Amerika Syarikat, sebuah pakatan serantau yang turut merangkumi pemberontak Houthi Yaman dan kumpulan bersenjata di Iraq dan Syria.

Tentera Israel mengesahkan dakwaan Hizbullah bahawa lebih 200 roket dilancarkan pada Khamis dan berkata, tenteranya menyerang pos pelancaran di selatan Lubnan sebagai tindak balas.

Pertahanan udara Israel memintas kebanyakan roket berkenaan, dan satu-satunya mangsa yang dilaporkan ialah seorang lelaki cedera ringan terkena serpihan, manakala beberapa impak mencetuskan kebakaran hutan.

Israel membunuh komander kanan Hizbullah, Mohammed Naameh Nasser dengan serangan di bandar pantai Lubnan, Tyre, pada Rabu lalu.

Sumber yang rapat dengan kumpulan itu menyifatkan beliau sebagai bertanggungjawab untuk satu daripada tiga sektor di selatan Lubnan.

Kematiannya berlaku selepas serangan Israel pada Jun membunuh Taleb Abdallah, yang mengetuai sektor lain.

Bercakap di pengebumian Nasser, pegawai tertinggi Hizbullah, Hashem Safieddine memberi amaran kepada Israel.

"Apabila mana-mana pemimpin menjadi syahid, seorang lagi mengangkat panji-panji dan meneruskan dengan tekad yang baharu, teguh dan kuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 10:02 AM