Kumpulan D'Masiv
Kumpulan D'Masiv
Oleh Zaara Talita


Kuala Lumpur : Selepas 'berpantang' jaga makan selama dua bulan demi konsert di Malaysia, vokalis D'Masiv iaitu Rian akhirnya tewas kepada nasi kandar yang menjadi kegemarannya.

Rian atau nama sebenarnya, Rian Ekky Pradipta, 37, berkongsi pendekatan untuk menjaga pemakanan dan tidak mengambil ais sudah diamalkan sejak dulu lagi.

"Setelah dua bulan berpantang (jaga makan) menjelang konsert, saya akhirnya tewas kepada nasi kandar. Lama juga saya bertahan untuk menjaga pemakanan, namun sukar mengatakan tidak kepada makanan kegemaran saya itu. 

"Sejujurnya makanan kegemaran saya adalah nasi lemak dan nasi kandar, jadi mungkin selepas konsert nanti baru saya mencari dua menu itu. 

"Paling penting bagi vokalis adalah vokal jadi saya memang berpantang tidak mengamalkan minum ais kerana menganggu vokal. Apatah lagi, saya akan membawakan 50 lagu untuk dua malam di Malaysia.

"Mudah-mudahan semuanya dipermudahkan kerana saya sendiri tidak sabar untuk mengadakan persembahan di sini. Apatah lagi, senarai lagu juga sudah dikeluarkan di Instagram," katanya. 

Kumpulan D'Masiv dianggotai oleh Rian selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan, Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).

Berdasarkan sambutan hangat peminat, penganjur Neptunes Presents menambah satu hari lagi untuk Konsert D'Masiv Road To The World bertempat di Zepp, di sini esok. 

Penganjurnya yang juga aktres popular, Nabila Huda berkata, pihaknya tidak mahu mengecewakan peminat yang terlepas membeli tiket konsert malam pertama pada 2 Jun yang terjual dalam masa 48 jam sebaik penjualan tiket dibuka, baru-baru ini.

"Sambutan hangat peminat D'Masiv untuk konsert pada malam pertama mencetuskan idea kepada Neptunes Presents dan D'Masiv untuk menambah satu malam lagi. 

"Ia sekali gus  memberi ruang kepada peminat kumpulan 'Masivers Malaysia' untuk menyaksikan konsert yang julung kalinya diadakan di Kuala Lumpur," katanya.

Konsert D'Masiv Road To The World akan menampilkan Is Pusakata dari kumpulan Parade Hujan yang lebih dikenali dengan nama Payung Teduh pada malam pertama.

Selain itu, vokalis kumpulan popular Nidji iaitu Giring pula sebagai penyanyi undangan bagi memeriahkan konsert D'Masiv pada malam kedua.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 6:43 PM