IZAT Bukhary (tengah) bertanding buat kali ketujuh ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon Dewan Jubli Perak. FOTO Hidayatidayu Razali
IZAT Bukhary (tengah) bertanding buat kali ketujuh ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon Dewan Jubli Perak. FOTO Hidayatidayu Razali
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Bekas calon Bebas yang sudah berpengalaman bertanding sebanyak tujuh kali di pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya umum (PRU) tidak menolak kemungkinan akan turut bertanding di Dewan Undangan Nenggiri (DUN) sekiranya terdapat permintaan.

Izat Bukhary Ismail Bukhary, 57, bagaimanapun berkata, setakat ini, beliau belum ada sebarang perancangan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

"Jujurnya untuk PRK DUN Nenggiri, saya tiada keinginan untuk bertanding kerana saya tidak tahu selok-belok kawasan Nenggiri, berbanding kawasan-kawasan yang saya sudah bertanding sebelum ini.

"Saya tidak tahu Dun Nenggiri tempatnya terletak dari mana sehingga mana yang menyebabkan saya tiada keinginan untuk bertanding.

"Namun, jika ada permintaan yang mahukan saya bertanding, saya tidak menolak kemungkinan akan menyambut tawaran berkenaan kerana bagi saya banyak perkara perlu diperbetulkan," katanya ketika dihubungi.

Izat Bukhary berkata, sehingga tahun lalu, dia sudah berpengalaman tujuh kali menyertai PRU dan PRK termasuk di dua kerusi Parlimen iaitu Kota Bharu dan Kuala Kangsar.

"Walaupun tidak pernah menang dengan hampir kebanyakannya hilang deposit, namun semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus bertanding di kerusi yang dirasakan sesuai.

"Tujuan saya bertanding bukan suka-suka, sebaliknya banyak yang saya rasa perlu diperbetulkan dan boleh dilakukan di kerusi yang pernah ditandinginya itu," katanya bapa kepada tujuh anak itu.

Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 10:26 AM