PERSEMBAHAN D'Masiv disambut meriah oleh 2,000 penonton di Zepp Kuala Lumpur.
PERSEMBAHAN D'Masiv disambut meriah oleh 2,000 penonton di Zepp Kuala Lumpur.
Zaara Talita


MENGEKALKAN keserasian selama 20 tahun bagi sebuah band bukan sesuatu yang mudah. Sering bertolak-ansur dan saling berkomunikasi formula utama bagi kumpulan D'Masiv.

Bagi vokalisnya, Rian atau Rian Ekky Pradipta, 36, keutuhan dan keakraban sesama anggota D'Masiv yang ditubuhkan sejak 2003 adalah dengan mempertahankan kebersamaan mereka sejak awal pembabitan dalam industri.

Biar saling mengenali isi hati dan sikap sahabat sekumpulan, bagai sebuah keluarga setiap perincian atau keputusan tetap dibincangkan bersama-sama.

"Kami suka berkumpul di warung tepi jalan untuk menjamu selera sambil berbual-bual pasal kerjaya mahu pun kehidupan disebabkan suasana yang santai.

"Dari dulu itu memang rutin kami. Beramai-ramai pilih warung tepi jalan yang enak, kemudian makan dan bercerita apa saja. Itu yang membuatkan kami rapat.

"Kiranya D'Masiv kukuh kerana tiada rahsia antara kami. Jika tidak puas hati, luahkan dan kita selesaikan sama-sama. Kami bukan lagi sahabat, tapi bersaudara," kata Rian sebagai wakil kumpulan itu.

Selain Rian, D'Masiv yang diterbangkan Neptune Presents ke Kuala Lumpur turut dianggotai Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan, Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).

Mendominasi Zepp Kuala Lumpur selama dua malam baru-baru ini selepas tiket hari pertama licin dalam tempoh 48 jam, band dicungkil bakat menerusi program nyanyian itu membuka pentas dengan penuh bertenaga menerusi lagu Dibawah Langit Yang Sama.

Kedua-dua malam mendapat sambutan hangat penggemar muzik yang turut galau dan melompat riang apabila berkesempatan menyaksikan persembahan D'Masiv di Malaysia.

D'Masiv tetap mengekalkan energi padu membawa 26 lagu termasuk Natural, Cinta Sampai Disini dan Aku Percaya Kamu.

Bagai dikatakan Rian ketika ditemu bual beberapa hari menjelang konsert, repertoire persembahan menggamit memori sedari awal mereka berjuang yang turut memenuhi permintaan kelompok peminat muda.

Selepas seleksi keempat, vokalis serba lincah yang bagai tiada lelah itu menyapa 2,000 penonton memenuhi Zepp Kuala Lumpur.

ANGGOTA kumpulan D'Masiv serasi bersama.
ANGGOTA kumpulan D'Masiv serasi bersama.

"Aku kira malam ini sepi, tetapi ternyata ramai sekali hadir menyaksikan persembahan kami," kata Rian.

Tidak lupa menghargai sokongan tanpa henti peminat, band kelahiran negara seberang itu berterima kasih dengan sokongan tanpa henti penggemar muzik mereka.

Konsert diteruskan dengan penyampaian lagu Kau Yang Tak Pernah Tahu, Tak Punya Nyali, Salah Paham, Dengarlah Sayang, Ilfil, Sebelah Mata dan Lukaku.

Memasuki babak berikutnya, D'Masiv menukar mod kepada akustik dengan lagu Sudahi Perih Ini, Apa Salahku dan Jangan menyerah yang memenuhi suasana Zepp, KL.

Mereka memberikan yang terbaik untuk menyempurnakan malam D'Masiv Line In KL dan meneruskan paduan tenaga dalam Side By Side, Esok Kan Bahagia, Hapus Aku dan Pergilah Kasih.

Mengikut perancangan, Pusakata dan Giring dijadualkan menjadi penyanyi undangan bagi malam Jumaat dan Sabtu namun tidak kesampaian atas hal yang tidak dapat dielakkan.

Giring bagaimanapun kelihatan hanya menyaksikan persembahan itu bersama-sama penonton lain.

Pentas semakin hangat apabila D'Masiv memasuki babak akhir iaitu menyampaikan pilihan lagu popular suatu ketika dahulu.

Ingin Lekas Memelukmu Lagi, Diantara Kalian, Rindu Setengah Mati dan Tak Bisa Hidup Tanpamu antara karya yang berjaya bikin peminat larut dalam kesedihan.

Diteruskan lagi dengan persembahan Merindukanmu, Semakin dan Diam Tanpa Kata untuk membuai perasaan penonton terutama sekali bagi yang mengalami permasalahan dalam percintaan.

Cinta Ini Membunuhku menjadi lagu ditunggu-tunggu Masivers (peminat D'Masiv) kerana liriknya dan melodi yang boleh membuatkan penonton merindukan persembahan band itu.

Secara kesuluruhannya, persembahan D'masiv berjaya memikat hati penonton yang sememangnya menantikan kedatangan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 6:30 AM