PERPADUAN umat Islam di seluruh dunia kebanyakannya berdasarkan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
PERPADUAN umat Islam di seluruh dunia kebanyakannya berdasarkan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sohibus Samahah Datuk Bungsu Aziz bin Jaafar

SAYA menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan untuk mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan Manhaj Akidah al-Asyairah dan Al-Maturidiyah.

Kelmarin, tiga rang undang-undang (RUU) berkaitan hal ehwal Islam dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Ia turut membabitkan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan)

024 bertujuan mengadakan peruntukan mengenai mufti, penentuan mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara berkaitan.

Ia sangat relevan kerana dilihat mampu memperkukuhkan asas Islam sedia ada, malah mampu mengekang ekstremisme dan radikalisme agama pada masa ini.

RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 itu menyatakan bahawa Manhaj Akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah sebagai paksi utama kerana ia bersifat sederhana, wasatiyyah dan lengkap dalam menjaga aspek terpenting insani.

Pengukuhan ini dapat membasmi aspek takfiri seperti golongan khawarij dan tidak pula longgar seperti golongan murjiah dan Liberal-Plural-Sekular.

Pihak pejabat Mufti Sabah melihat ia adalah satu pengisytiharan dalam perundangan yang baik dalam menjaga agama. Pejabat Mufti Sabah juga sangat bersetuju dengan pendefinasian ini kerana ia selaras dengan pendekatan Jumhur Ulama Muktabar sedunia. Justeru, itu pendefinasian ini sudah diwartakan di warta Negeri Sabah no 35 pada 7 September 2017 yang menyatakan

1. Ahli Sunnah Wal Jamaah merujuk kepada majoriti umat Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, sahabat dan ulama Islam muktabar. Oleh itu, umat Islam hendaklah berpegang dengan hal berkaitan dengan ;

a: Akidah dan tauhid berdasarkan hanya kepada pegangan Imam Abu Hasan al Ash'ari dan Imam Abu Mansur al Maturidi

Perpaduan umat Islam pada dasar Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu dengan mazhab al-Asyairah dari sudut akidah turut bertepatan dengan saranan tokoh ulama masa kini antaranya Imam Akbar Sheikh Al-Azhar Prof Dr Ahmad Toyyib Al-Azhari.

Merujuk kepada resolusi yang dibacakan Sheikh Al-Azhar Mesir, Prof Dr Ahmad Tayyib di Muktamar Antarabangsa Ahli Sunnah Wal Jamaah di Grozny, Ibu negara Chechnya yang diadakan pada 25 hingga 27 Ogos 2016, yang dihadiri 200 ulama Islam dari 30 negara seperti Mesir, Yaman, Maghribi, Arab Saudi, Jordan, Lubnan, Syria, Indonesia dan Malaysia bersetuju bahawa Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah Al-Asyairah Al-Maturidiyah adalah manhaj Islam yang paling menyeluruh, terperinci dan tepat.

Malah, semangat Persekutuan yang memartabatkan Majlis Raja-Raja sebagai institusi yang menaungi agama Islam di negara ini dengan pendekatan wasatiyyah.

Akidah Al-Asyairah sangat disokong kerana sudah terbukti berjaya menjaga keamanan dan keharmonian secara cekap khususnya di negara kita yang majmuk dan sarat dengan kepelbagaian budaya.

Semoga Allah merahmati Malaysia Bumi Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Penulis Mufti Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 9:26 AM