D MASIV janjikan persembahan yang takkan dilupakan penonton.
D MASIV janjikan persembahan yang takkan dilupakan penonton.
Suhaila Khairie

KUMPULAN pop rock sensasi Indonesia, D'Masiv bakal kembali menghiburkan peminat setia di Malaysia dengan persembahan lagu mengasyikkan menerusi Konsert Cinta Sampai Di Kuala Lumpur.

Ifix Entertainment dengan kerjasama Panggung Asia menampilkan konsert secara langsung yang dijadualkan berlangsung pada 4 Februari tahun depan bermula jam 8.30 malam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Dibentuk pada 2003, D'Masiv yang dianggotai Rian Ekky Pradipta selaku penyanyi, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan, Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram) bangkit menjadi salah satu kumpulan pop rock yang paling disayangi di rantau ini dan bakal memberi kenangan indah kepada peminat mereka.

Kumpulan berpengaruh dari negara seberang turut terkenal dengan lagu hit yang kerap mengungguli carta papan atas dan pastinya menampilkan persembahan yang meruntun jiwa.

Jurucakap penganjur berkata, orang ramai turut dijemput menyertai dan memeriahkan lagi malam kecemerlangan muzik yang ditampilkan dan mencipta kenangan bersama-sama.

"Kami harap peminat D'Masiv di Malaysia tidak akan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan mereka di sini," katanya.

D'Masiv menjanjikan pengalaman satu malam yang pastinya dipenuhi melodi mendalam dan irama yang memukau dengan hit puncak carta dan klasik yang kekal dalam ingatan.

Perjalanan muzikal yang merentasi sempadan ini pastinya mampu menyatukan peminat dan turut menjanjikan malam yang dipenuhi muzik elektrik, balada emosional serta pengalaman yang tidak dilupakan.

Difahamkan, konsert ini adalah sebahagian daripada lawatan mereka dengan matlamat untuk berkongsi dan membawa bunyi ikonik selain menyebarkan tenaga bersama peminat muzik di seluruh rantau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 6:30 AM