PEMAIN Venezuela bersorak kegembiraan meraikan kejayaan mara ke suku akhir Copa America. FOTO AFP
PEMAIN Venezuela bersorak kegembiraan meraikan kejayaan mara ke suku akhir Copa America. FOTO AFP
Reuters

Texas: Catatan sejarah baharu menanti Venezuela dan Kanada apabila mereka bertarung di suku akhir Copa America di Arlington, Texas, esok.

Sekian lama dilabel skuad kerdil dalam bola sepak Amerika Selatan, Venezuela berpeluang melakar pencapaian terbaik di Copa America jika berjaya mengatasi Kanada, selepas menduduki tempat keempat pada 2011.

"Kami sedar perlu meningkatkan lagi motivasi diri sendiri berbanding ketika persaingan peringkat kumpulan," kata penguru Venezuela, Fernando Batista menerusi jurubahasa.

"Ini kerana, kami semakin hampir mengatasi pencapaian terbaik Venezuela dalam sejarah Copa America. Kami tahu, ini sangat penting."

Venezuela menang ketiga-tiga perlawanan Kumpulan B, tetapi mungkin turut dibantu nasib apabila menang 2-1 ke atas Ecuador selepas Enner Valencia dilayangkan kad merah di awal perlawanan dan menang 1-0 ke atas Mexico sekalipun Orbelin Pineda gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Manakala Kanada yang tampil kali pertama di Copa America boleh beranggap bernasib baik dalam perjalanan ke suku akhir.

Mereka menang 1-0 ke atas Peru, seri 0-0 dengan Chile apabila kedua-dua pasukan dilayangkan kad merah.

Hanya satu gol dijaringkan Kanada menerusi Jonathan David iaitu jumlah gol paling sedikit dalam kalangan lapan pasukan ke suku akhir.

Mereka akan beraksi tanpa pemain sayap, Tajon Buchanan, yang patah tulang kering dalam latihan selepas seri dengan Chile yang membolehkan mereka menduduki tangga kedua Kumpulan A.

"Banyak lagi ruang untuk peningkatan," kata pengurus Kanada, Jesse Marsch selepas seri dengan Chile.

"Tetapi, saya perlu mengakui secara keseluruhan betapa mental dan komitmen untuk menjadi pasukan terbaik beraksi pada tahap tertinggi dipamerkan kumpulan pemain ini.

"Saya gembira menikmati perkara ini. Saya bangga dan gembira dengan mereka."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 9:51 AM