SEBAHAGIAN ahli keluarga Allahyarham ketika menuntut jenazah Hafiz Fauzan di Unit Forensik HSNI, pagi ini. FOTO Alias Abd Rani
SEBAHAGIAN ahli keluarga Allahyarham ketika menuntut jenazah Hafiz Fauzan di Unit Forensik HSNI, pagi ini. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Suasana hiba menyelubungi Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) pagi ini, ketika proses menuntut jenazah Hafiz Fauzan, pelajar yang dilaporkan hilang sebelum rangkanya ditemui dalam kebun durian, bulan lalu.

Ahli keluarga terdiri ibu bapanya, Abd Halid Sugiman, 44, dan Zuraidah Zainuddin dilihat tiba di unit forensik sekitar jam 8.40 pagi melengkapkan urusan membawa pulang jenazah.

Selain itu, dua adik beradik arwah, Hariz Zafran, 21, dan Adam Zakuan, 15, turut kelihatan sebelum mereka dibenarkan memasuki bilik forensik.

Sebaik selesai urusan dokumentasi, jenazah kemudian dibawa ke Surau Al-Muhajirin, Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Batu 7, Tongkang Pechah untuk dikebumikan.

Hariz Zafran berkata, dia sebak sebaik melihat jenazah adiknya untuk kali terakhir.

"Saya kehilangan seorang adik, walaupun jarang bersua muka, saya berasa amat sedih," katanya ketika ditemui.

Semalam, identiti rangka manusia yang ditemui celah pokok dalam kebun durian di Jalan Muar-Yong Peng, bersebelahan Kompleks Penghulu Mukim Linau, bulan lalu dikenal pasti milik Hafiz Fauzan, 17.

Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati ia sepadan dengan ibu bapanya melalui sampel diambil pada hari penemuan rangka di Jalan Yong Peng-Muar, pada 24 Jun lalu.

Hafiz Fauzan adalah pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR), dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu selepas keluar menonton bola sepak.

Selepas hampir sebulan kehilangannya, rangka manusia berserta sebuah motosikal ditemui orang awam di celah pokok dalam kebun durian.

Penemuan itu merungkai kehilangan anak ketiga daripada tujuh beradik selepas nombor pendaftaran sama dengan motosikal digunakan Hafiz Fauzan seperti dihebohkan ahli keluarganya di media sosial sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 10:47 AM