PESERTA memulakan larian pada larian Learn A Thon @ NTW 2024 di Stadium Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS
PESERTA memulakan larian pada larian Learn A Thon @ NTW 2024 di Stadium Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS
Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur : Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Bukit Jalil, di sini, yang melabuhkan tirainya, Ahad lalu berjaya memecah rekod dengan penyertaan seramai lebih 375,000 peserta daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia.

Program berkenaan membabitkan lebih 65,000 kursus ditawarkan serta 736 program dan aktiviti dengan acara larian Learn A Thon @ NTW 2024 yang julung kali diadakan disambut meriah dengan penyertaan kira-kira 5,000 peserta.Acara berkonsep santai dan bertemakan ''learn a thon' sejauh lima kilometer (km) itu dianjurkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Larian santai itu bermula pada 7.30 pagi dengan turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Dawood.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan acara penutup NTW 2024.

Khairul Dzaimee berkata, acara itu untuk menanamkan semangat pembelajaran sepanjang hayat kepada rakyat negara ini khususnya golongan pekerja supaya sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran masing-masing.

Menurutnya, tahun ini adalah penganjuran NTW kali kedua dan dijadikan sebagai acara tahunan bertujuan menyahut seruan dan dasar kerajaan mempertingkatkan kemahiran pekerja sejajar dasar ekonomi Madani.

"Semua peserta gembira dan ramai mengakui walaupun larian hanya 5 km tetapi ia tetap mencabar kerana keadaan laluan di Bukit Jalil berbukit dan tidak lurus tetapi semua menamatkan larian dengan selamat," katanya.

Katanya, larian santai itu menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan berorientasi riadah bersama keluarga sekali gus menyahut seruan kerajaan untuk rakyat menjaga pemakanan serta menjalani gaya hidup sihat.

"Peserta juga pelbagai peringkat umur terdiri daripada kanak-kanak yang menyertai larian bersama ibu bapa, remaja, golongan di pertengahan usia dan warga emas.

"Dalam acara besar Kementerian Sumber Manusia selepas ini larian akan menjadi satu acara wajib termasuk sambutan Hari Buruh dan sebagainya," katanya.

Peserta, Razmi Abdullah, 32, berkata, larian sudah menjadi aktiviti kegemaran sejak empat tahun lalu dan kini ia dikongsi bersama anak sullung, Sweet Lutfya, 6, malah turut mengakui aktiviti itu meluangkan masa beriadah bersama keluarga.

Menurutnya, penyertaan acara kali ini adalah kali kedua untuk anak dan ia jarak paling jauh disertai untuk menguji stamina dan kekuatan kanak-kanak perempuan berkenaan. 

"Sebelum ini saya dan anak sertai larian 3 km saja tetapi kali ini saya cuba jarak lebih jauh untuk Sweet Lutfya kerana mahu mencabar keupayaannya. Anak sendiri mahu menyertai larian ini kerana selalu mengikut saya ke acara itu.

"Alhamdulillah, anak menamatkan larian dengan baik biarpun dia ada mengadu penat dan kami banyak berhenti di 'check point'. Tetapi dia 'enjoy' dan gembira menamatkan larian dengan mengambil masa 56 minit," katanya.

Kakitangan swasta, Muhammad Firdaus Ramli, 24, dia aktif menyertai larian sejak tahun lalu dan kali ini lebih istimewa kerana acara itu sempena NTW yang memberi pe;uang kepadanya meninjau inisiatif karnival berkenaan.

"Bagi saya, acara ini perlu diteruskan untuk menggalakkan anak muda turut serta menyertai aktiviti yang menyifatkan sekali gus ia juga membantu sesiapa saja mencari peluang pekerja serta meningkatkan kemahiran semasa," katanya.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 10:30 AM