STEVEN Sim Chee
STEVEN Sim Chee
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tidak menghalang jika ada mana-mana pihak berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut terhadap agensi di bawahnya susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 diterbitkan semalam.

Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata, KESUMA tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan undang-undang malah sudah mengarahkan Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Hameed Dawood untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang penemuan LKAN.

"KESUMA mengambil serius laporan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Proses pengauditan itu terhadap operasi HRD Corp dari 2019 hingga 2023," kata Sim.

Beliau juga sudah dimaklumkan mengenai proses pengauditan oleh kedua-kedua badan itu ketika mengambil alih portfolio kementerian pada pertengahan Disember 2023 dan mengarahkan KESUMA serta HRD Corp untuk memberi kerjasama penuh kepada JAN dan PAC.

Selain itu, beliau memaklumkan sudah memulakan proses rekayasa merentasi kementerian bagi memastikan tatakelola yang cekap serta rekayasa di peringkat HRD Corp juga dilaksanakan untuk memastikan isu yang dibangkitkan dalam laporan JAN dan PAC tidak berulang.

Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam (LKAN) 2/2024 sebelum ini berkata, KESUMA disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Wan Suraya, berkata terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan KESUMA perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 10:38 AM