Gambar hiasan
Gambar hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru : Hajat pemilik salun untuk meminjam wang sebanyak RM200,000 daripada syarikat pinjaman wang di media sosial, berakhir dengan dia diperdaya hingga kehilangan wang simpanan RM146,020.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 28 tahun itu, kelmarin.

Katanya, mangsa memaklumkan diperdaya sindiket menawarkan pinjaman wang tidak wujud secara dalam talian selepas melihat iklan pinjaman di media sosial, minggu lalu.

"Mangsa menghubungi nombor telefon yang terdapat pada iklan itu dan diterangkan kadar bayaran bulanan oleh pekerja syarikat terbabit.

"Mangsa berminat untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM200,000 dan memberikan salinan butiran peribadi serta penyata akaun bank kepada suspek untuk tujuan permohonan pinjaman.

"Suspek juga memperdaya mangsa dengan meminta membuat pembayaran duti setem dan 'credit scoring' serta dijanjikan pinjaman akan diterima selepas mangsa membuat pembayaran itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, mangsa memaklumkan mengikut arahan suspek dan membuat bayaran sebanyak RM146,020 dengan 16 transaksi ke beberapa akaun bank tempatan.

"Setelah pembayaran dibuat, suspek mendesak mangsa untuk membuat penambahan bayaran lagi bagi mendapatkan pinjaman wang. Namun, mangsa enggan berbuat demikian.

"Sehingga kini, mangsa masih belum menerima wang pinjaman seperti yang dijanjikan suspek," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 9:32 AM