D’MASIV sebelum ini pernah menyanyikan lagu Sahabat Selamanya yang juga OST filem Boboiboy.
D’MASIV sebelum ini pernah menyanyikan lagu Sahabat Selamanya yang juga OST filem Boboiboy.
Syafil Syazwan Jefri


SEBUT sahaja judul lagu seperti Cinta Ini Membunuhku dan Merindukanmu, tentunya akan terngiang-ngiang dendangan lagu itu yang cukup popular di Malaysia.

Terbaharu, D'Masiv akan tampil buat pertama kalinya dalam acara konsert solo, D'Masiv 20AD to the World - Live in Kuala Lumpur pada 2 Jun depan.

Tentunya, kehadiran mereka akan mengubat kerinduan kelompok peminat mereka yang digelar Masivers, sekali gus menghangatkan pentas lokasi konsert di Zepp KL dengan lagu popular mereka.

Berkesempatan menemubual kumpulan yang menjengah usia 20 kewujudan mereka ini, D'Masiv yang dianggotai Rian, Kiki, Rai, Rama, Why dan Eghay ini berkongsi keterujaan serta persiapan mereka.

"Beberapa bulan lalu, saya sempat menulis ciapan di Twitter dan ramai sekali peminat Malaysia yang inginkan kami hadir ke sana bagi mengadakan konsert. Jadi, itu membuatkan kami rasa sangat teruja.

"Sebelum ini, kami sudah beberapa kali hadir ke Malaysia, tapi hanya mempromosikan album dan sebagainya. Kalau buat persembahan pun, bersama-sama pemuzik lain seperti Nidji dan Geisha.

"Jadi, untuk konsert tunggal kami sendiri, ini akan menjadi kali pertama. Kami sangat teruja kerana dapat adakan konsert di Malaysia dan apa yang boleh dijanjikan, lagunya takkan sedikit. Kami dah siapkan 23 hingga 25 lagu untuk peminat di Malaysia," kata Rian.

Menurut Rian, mereka juga mengangkat tema jelajah dunia untuk persembahan kali ini, sekali gus menyediakan susunan muzik berbeza di samping susunan asal mengikut kesesuaian dan kehendak peminat.

"Kebetulan, tahun ini juga kami nak adakan siri jelajah ke beberapa negara. Jadi, Malaysia akan jadi negara pertama, kemudian barulah negara lain seperti Indonesia, Australia dan Amerika Syarikat.

"Ada beberapa lagu yang kami susun semula muziknya supaya ia berbeza daripada versi asal. Tapi, ada juga lagu yang akan kami persembahkan dalam versi asal sebab ada peminat yang nak dengar versi asal juga.

"Kami yakin peminat di Malaysia ingin bersama-sama menyanyikan lagu seperti Cinta Ini Membunuhku dan Merindukanmu," katanya.

Walaupun sudah dua dekad beraksi dalam industri, D'Masiv bersyukur kerana keberadaan mereka masih diterima baik oleh peminat daripada pelbagai generasi.

"Di Indonesia, kami sering bermain di festival muzik seperti Pentas Seni yang rata-rata penontonnya adalah dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

"Kami pun terkejut kerana walaupun usia mereka dalam kalangan 15 hingga 17 tahun, mereka tahu lagu kami. Mungkin kerana lagu kami, jalan ceritanya sudah mula terkesan untuk mereka.

"Mungkin ada dalam kalangan mereka sudah mula sukakan seseorang, sudah mula patah hati dan ada muncul rasa kerinduan kepada seseorang. Jadi, lagu kami mula terkait dengan kisah mereka," katanya.

Tambah Rian, mereka juga menggunakan platform media sosial untuk berinteraksi dengan peminat.

"Memandangkan zaman sekarang ada era media sosial, jadi kami juga menggunakan platform itu dengan sebaik mungkin untuk berinteraksi. Mahu atau tidak, kami perlu ikuti peredaran zaman.

"Itu sedikit sebanyak membantu untuk mendekatkan kami dengan peminat generasi baharu," katanya.

Ditanya mengenai kolaborasi dengan artis Malaysia, D'Masiv yang sebelum ini pernah menyanyikan lagu Sahabat Selamanya yang juga OST filem Boboiboy menyebut beberapa nama.

"Kalau di Indonesia, yang popular sekarang adalah Masdo. Memang nama mereka tular sekarang. Sebelum ini, kami pernah bekerjasama dengan Bunkface ketika sama-sama menyanyikan lagu OST untuk filem Boboiboy. Jadi, kalau ada peluang lagi, saya terbuka untuk kerjasama lagi," katanya.

Tiket konsert dari RM198 hingga RM458 boleh didapati di laman web startix bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 6:08 AM