Nabila Huda
Nabila Huda
Jayakan siri jelajah di 20 kota Indonesia tahun ini
Jayakan siri jelajah di 20 kota Indonesia tahun ini
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Bukan hanya mengadakan siri jelajah sekitar 20 bandar di Indonesia malah band popular, D'Masiv turut menjadikan Malaysia sebagai salah satu venue pilihan.

Kumpulan yang meneruskan legasi seni selama dua dekad dianggotai vokalis, Rian Ekky Pradipta, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).

D'Masiv yang popular menerusi lagu Pergilah Kasih, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku akan tampil dalam konsert pertama di Malaysia menerusi Konsert D'Masiv Road To The World anjuran Neptunes Presents bertempat di Zepp Kuala Lumpur pada 2 Jun depan.

D’Masiv dianggotai lima pemuda
D’Masiv dianggotai lima pemuda

Penganjurnya yang juga aktres terkenal, Nabila Huda berkata, D'Masiv adalah salah satu kumpulan Indonesia diminati sejak dahulu lagi, namun tidak pernah berpeluang menyaksikan konsert di Kuala Lumpur.

"Sempena ulang tahun ke-20 D'Masiv justeru Neptunes Presents mengambil kesempatan membawa D'Masiv bagi meraikan perjalanan muzik dan mendekati peminat di negara ini.

"Awal tahun ini, saya dan keluarga sempat bercuti ke Jakarta, Indonesia. Secara kebetulan, kami diundang oleh teman rapat untuk bertemu dengan vokalis D'Masiv, Rian Ekky Pradipta.

"Namun, tujuan asal pertemuan hanya untuk berkenalan. Tiada perancangan pun melamar D'Masiv untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, pengurus D'Masiv amat teruja dengan penganjuran konsert pertama Senandung Malam membabitkan Payung Teduh X Pusakata dan Efek Rumah Kaca yang dibawakan Neptunes Presents pada November, tahun lalu.

"Dari situ, timbul idea sekiranya kami berminat berkolaborasi dengan D'Masiv dalam menganjurkan Senandung Malam Volume 2 di Kuala Lumpur," kata anak kepada rockers legenda, Amy Search itu.

Mengulas projek Senandung Malam, Nabila berkata, pihaknya sedang merancang mengadakan beberapa siri Senandung Malam membabitkan artis dari seberang dan tempatan untuk peminat.

Terdahulu, D'Masiv sudah menghasilkan tujuh album iaitu Perubahan pada 2008, Perjalanan (2009), Persiapan (2012), Hidup Lebih Indah (2014), D'masiv (2016), Love 2019) dan terakhir, Time (2022).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 4:35 PM