GANDINGAN dua pemuzik hebat.
GANDINGAN dua pemuzik hebat.
GANDINGAN dua pemuzik hebat.
GANDINGAN dua pemuzik hebat.
D'Masiv kembali hiburkan peminat.
D'Masiv kembali hiburkan peminat.
Ridzuan Abdul Rahman


SELEPAS sambutan hebat Konsert Cinta Sampai Di Kuala Lumpur tahun lalu, band D'Masiv kembali lagi menghiburkan peminat rantau ini dengan Amazing Concert D'Masiv & Mario G Klau.

Konsert yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini di Megastar Arena, Kuala Lumpur.

Istimewanya juga, konser itu nanti turut menampilkan penyanyi Mario G Klau.

Menurut penganjur, konsert itu akan menjadi platform untuk penggemar menikmati persembahan langsung daripada dua pemuzik yang sudah menawan hati jutaan pendengar dengan lagu-lagu mereka.

"Satu kebangaan dan penghormatan besar untuk melihat dua pemuzik ini berganding bahu di pentas yang sama. Bayangkan kemeriahan apabila D'Masiv dengan lagu-lagu pujaan seperti Jikalau Aku Bersalah dan Cinta Mati di selang-seli dengan renungan lirik Mario G Klau yang mendalam.

"Pasti penonton akan terbuai dengan alunan melodi yang mengusik kalbu dan membangkitkan rasa terujanya kembali kepada zaman kegemilangan.

"Konsert ini bakal menjadi momen bersejarah yang tidak mungkin diulang, di mana dua figura besar industri hiburan Indonesia bersatu di atas satu pentas.

"Sudah tentu peminat tidak mahu melepaskan peluang emas untuk menyaksikan persembahan istimewa yang bakal meninggalkan kesan mendalam dalam sanubari setiap yang hadir.

"Tiada kata yang dapat mengungkapkan keghairahan menanti detik kemuncak acara hebat ini berlangsung," katanya.

Menurutnya, pemilihan Mario G Klau dalam kolaborasi istimewa ini juga dianggap tepat ketika nama penyanyi dan komposer itu kian mendapat perhatian.

"Mario semakin mendapat perhatian meluas daripada peminat serta pengiktirafan dalam industri muzik tempatan.

"Kolaborasi ini bakal menjadi satu detik yang dinanti-nantikan, dengan jangkaan akan menghasilkan karya memukau serta menyerlahkan bakat luar biasa mereka.

"Ditambah pula, lagu-lagu yang dihasilkan Mario paling banyak didengar di aplikasi muzik dan di YouTube sehingga mencecah 60 juta tontonan termasuk lagu Semata Karnamu," katanya.

Istimewanya juga, Amazing Concert D'Masiv & Mario G Klau turut menampilkan persembahan penyanyi tempatan Sarah Suhairi dan Alfie Zumi.

Amazing Concert D'Masiv dan Mario G Klau bakal menyaksikan D'Masiv menyanyikan 15 lagu, Mario G Klau dengan lapan lagu dan Sarah Suhairi dua lagu.

Harga tiket menyaksikan konsert ini bermula dari RM184 hingga RM936.

Penganjur juga berharap Amazing Concert D'Masiv & Mario G Klau berjaya diterima baik seluruh lapisan masyarakat.

"Konsert ini bukan hanya hiburan semata-mata, tetapi juga mengenai menyatukan komuniti muzik dan menyalurkan kuasa positif melalui suara dan harmoni. Dengan pelbagai lagu yang membawa makna dan inspirasi, dijangka konsert ini akan memberikan pengalaman menginspirasi dan mengasyikkan kepada mereka yang hadir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 6:30 AM