Kumpulan D'Masiv
Kumpulan D'Masiv
Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


Kuala Lumpur: Berikutan sambutan hebat di kalangan peminat, penganjur Neptunes Presents menambah satu hari lagi untuk Konsert D'Masiv Road To The World bertempat di Zepp, Kuala Lumpur pada 3 Jun depan, jam 8 malam.

Penganjurnya yang juga aktres popular, Nabila Huda berkata, pihaknya tidak mahu mengecewakan peminat yang terlepas membeli tiket konsert band popular dari negara jiran itu.

Katanya, tiket konsert malam pertama pada 2 Jun 'licin' dalam masa 48 jam sebaik penjualan tiket dibuka, baru-baru ini.

"Alhamdulillah, sambutan peminat D'Masiv untuk konsert pada malam pertama cukup luar biasa hingga mencetuskan idea kepada Neptunes Presents dan D'Masiv untuk menambah satu malam lagi, sekali gus memberi ruang kepada peminat kumpulan 'Masivers Malaysia' untuk menyaksikan konsert yang julung kalinya diadakan di Kuala Lumpur," katanya.

Kumpulan D'Masiv dianggotai oleh Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan, Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).

Ditanya pemilihan artis undangan pula, kata Nabila, pihaknya akan menampilkan bekas vokalis kumpulan popular Nidji iaitu Giring untuk memeriahkan konsert D'Masiv pada malam kedua.

"Pemilihan Giring dibuat pengurusan D'Masiv, sekali gus untuk sama-sama meraikan sambutan ulang tahun ke-20 kumpulan itu bersama peminat di Malaysia.

"Segala persiapan rapi sudah dibuat D'Masiv membabitkan konsert pada dua malam terbabit.

"Apa yang pasti, D'Masiv akan mempersembahkan konsert yang akan menjadi kenangan terindah buat peminat di Malaysia.

"Sebanyak 25 rangkaian lagu popular akan dipersembahkan D'Masiv pada konsert dua malam terbabit seperti Pergilah Kasih, Jangan Menyerah, Cinta Ini Membunuhku dan banyak lagi.

"Menariknya, vokalis D'Masiv, Rian Ekky Pradipta akan berduet dengan Giring menerusi satu lagu istimewa buat peminat," kata Nabila anak rockers terkenal Amy Search itu.

Tiket konsert untuk malam kedua sudah dibuka kepada orang ramai dan kini sudah terjual sebanyak lima puluh peratus. Untuk maklumat lanjut layari laman www.myticketempire.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 11:59 AM