Azira Shafinaz
Azira Shafinaz
Serimah Mohd Sallehuddin


Kuala Lumpur: Kemenangan Pelakon Lelaki/Wanita Komedi Terbaik bagi drama Ijab Kabut menerusi Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA 2023) disifatkan sebagai hadiah ulang tahun kelahiran yang paling bermakna buah pelakon Azira Shafinaz.

Azira yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-32 pada 26 September lalu berkata, segala kerja keras sejak menceburi dunia lakonan pada 2015 seakan terbalas dengan kemenangan itu.

Kemenangan itu, katanya, melayakkannya bersaing pada malam kemuncak AACA 2023 yang bakal berlangsung di Singapura pada Disember depan.

Azira bakal berentap dengan calon dari India, Hong Kong, Filipina, Singapura dan Vietnam.

"Alhamdulillah, ini adalah pengiktirafan terbesar selepas lapan tahun bergelar anak seni.

"Saya tak sangka menang dan berjaya mewakili negara. Saya seakan tak percaya ketika mendapat mesej daripada penerbit, Joanne Goh.

"Apatah lagi, bila mengetahui nama-nama hebat seperti Tiz Zaqyah dan Siti Saleha turut menang dalam kategori lain," katanya.

Dengan kemenangan itu, Azira berharap lebih banyak lagi karyanya yang akan diangkat selepas ini.

"Orang luar mengenali saya sebagai anggota De Fam, tapi dengan pengiktirafan ini saya harap orang ramai lebih nampak bakat dan minat dalam lakonan.

"Nama saya tak pernah dicalonkan sampai ke tahap ini. Sebenarnya, saya bersyukur rezeki dalam lakonan diterima baik.

"Kemenangan dan mara ke peringkat seterusnya sebenarnya membakar lagi semangat," kata Azira.

Ujar Azira lagi, walaupun hampir sedekad bergelar pelakon, namun masih belum puas dan ingin meneroka lebih banyak watak lagi.

"Buat masa ini, saya tak terfikir nak berhenti berlakon.

"Saya belum sampai tahap rasa puas, kalau boleh saya ingin terus berlakon, dapat lebih banyak karya hebat dan seterusnya, dicalonkan dalam anugerah yang lebih besar lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 2:51 PM