Azira Shafinaz.
Azira Shafinaz.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Azira Shafinaz, 31, sudah mempunyai 'folder' menyimpan koleksi tema majlis perkahwinan impiannya, namun yang masih belum ada ialah calon pilihan hati.

Azira atau nama sebenarnya Azira Shafinaz Ramlan berkata, dia bagaimanapun tidak berasa tertekan dengan status solo itu kerana sentiasa mendoakan yang terbaik buat diri sendiri dan percaya jodoh akan datang bila sampai waktunya.

"Namun, kalau ditanya apakah saya sudah sedia berkahwin, memang dah pun bersedia pada umur sekarang. Malah, saya pernah luahkan pada kakak saya, keinginan mempunyai anak sendiri. Tapi, tunggulah masa itu (jodoh) akan tiba juga.

"Pada usia kini, saya memerlukan calon pasangan yang komited dan serius dalam perhubungan. Bagi saya, ini bukan masanya lagi nak cari calon yang masih mahu bersuka ria. Itu yang nampak saya semacam cerewet.

"Jadi, untuk saya berkawan baru itu rasanya sekarang masih mencari. Kalau ada, ada lah. Kalau terbuka hati saya, mana tahu. Tapi, buat masa sekarang memang tak ada (kekasih)," katanya ditemui, baru-baru ini.

Ditanya juga apakah dia trauma dengan kegagalan percintaannya sebelum ini, Azira berkata dia tidak trauma, namun lebih kepada berhati-hati untuk membuat pilihan.

"Saya dengan bekas kekasih pun sehingga kini kami masih berkawan. Keluarga saya dan keluarga dia pun masih berhubungan baik dan kami rapat. Memang tiada masalah pun sesama kami.

"Cuma, macam saya kata, kalau jodoh itu ada, ada lah. Saya hanya tidak mahu terlalu mencari-cari," katanya yang menyifatkan 'kenen-kenen' peminat dengan rakan pelakon itu perkara lumrah dalam kehidupan selebriti.

Difahamkan Azira pernah putus cinta dengan bekas kekasihnya dikenali Yasser pada 2019 lalu selepas enam tahun mereka menjalinkan perhubungan.

Azira yang aktif berlakon selain menyanyi, tampil dengan drama Viu Original Malaysia terbaharu berjudul Ijab Kabut sebagai Deanna iaitu seorang penerbit muzik kompetitif dan licik demi mengejar impian perkahwinannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 12:08 PM