Azira Shafinaz
Azira Shafinaz

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Azira Shafinaz, 32, mengalami keretakan pada pergelangan tangan kirinya selepas terjatuh ketika menjalani penggambaran drama, kelmarin.

Azira berkata, kecederaan itu tidak serius dan berharap dapat sembuh segera.

"Saya terjatuh sewaktu menjalani penggambaran drama. Alhamdulillah, tiada sebarang kecederaan serius cuma saya mengalami keretakan kecil (hairline fracture) pada tulang pergelangan tangan kiri," katanya.

Azira yang juga anggota kumpulan De Fam berkata, kejadian itu berlaku ketika dia melakonkan babak terakhir sebuah drama.

Dia bersyukur tidak mengalami kecederaan serius dan sempat bergurau dalam satu hantaran di media sosial.

"Dr Dina kini seorang pesakit," katanya merujuk kepada wataknya sebagai Dr Dina dalam drama berjudul Nafsu itu.

Dalam hantaran yang sama, Azira turut mengepilkan beberapa gambar paparan sinar x-ray yang menunjukkan keadaan terkini pergelangan tangannya.

Azira turut meminta orang ramai agar mendoakan kesembuhannya agar dapat bekerja semula seperti biasa.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan artis meluahkan rasa kesian terhadap Azira dan menitipkan doa agar dia segera pulih .

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 2:05 PM