AZIRA Shafinaz. FOTO Eizairi Shamsudin
AZIRA Shafinaz. FOTO Eizairi Shamsudin
Ramlah Zainal

Bukan tamak merebut semua tawaran yang datang, sebaliknya penyanyi dan pelakon berbakat besar, Azira Shafinaz mahu mengembangkan bakatnya dalam semua cabang seni sedia ada termasuk pengacaraan.

Tidak hairanlah Azira sukar menolak apabila ditawarkan sebagai pengacara program Pop! TV dan Pop! Express yang bersiaran di saluran ntv7 mulai 9 Mac lalu.

Azira bergandingan dengan Shuk Sahar selaku pengacara Pop! TV manakala dalam Pop! Express dia berganding dengan barisan pengacara seperti Shuk Sahar, Ain Edruce, Maggy Wang, Shalma Ainaa dan Aaron Al-Fateh.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Azira Shafinaz Ramlan, 27, ini berkata, dia juga menimba pengalaman baru selaku pengacara dua program terbabit.

“Saya ditawarkan sebagai pengacara dua program terbabit pada tahun lalu. Saya terima tawaran buat program ini pun kerana mahu mencabar diri dan meneroka dalam bidang pengacaraan.

“Saya juga mengambil alih mengacarakan Pop! TV bergandingan dengan Shuk daripada pengacara sebelum ini iaitu Nana Mahazan di TV9.

“Pada mulanya, saya kekok mengendalikan program Pop! TV bersama Shuk, tetapi lama kelamaan saya mula mengikut rentaknya.

“Shuk memang cakap banyak kerana dia pelawak berpengalaman dan apabila saya buntu dia dapat mengawal keadaan serta menghidupkan suasana,” katanya.

Azira berkata, dia juga lebih suka menjadi diri sendiri dan tidak mahu terikut-ikut dengan gaya pengacara lain.

“Saya banyak menonton program dan berita hiburan dari luar negara seperti E! News.

“Selain itu, saya menonton program Melodi yang pernah dikendalikan Zizan Razak dan Awal Ashaari serta program Anugerah Juara Lagu yang pernah dikendalikan Sherry Al Hadad. Saya juga mahu selitkan elemen lucu supaya penonton terhibur dan tidak berasa bosan,” katanya.

Ditanya mengenai kritikan pula, kata Azira dia lebih suka melihat dari sudut positif.

AZIRA Shafinaz. FOTO Eizairi Shamsudin
AZIRA Shafinaz. FOTO Eizairi Shamsudin

“Alhamdulillah, setakat ini, tiada komen negatif daripada netizen di laman sosial. Sebelum ini, ramai yang menyukai baju yang saya gayakan ketika bersiaran. Selaku hos, saya sedia terima apa saja kritikan termasuk negatif atau orang memandang rendah pada kebolehan kita. Jika saya tidak boleh terima kecaman bagaimana saya boleh ke tahap yang lebih tinggi dalam bidang pengacaraan?” katanya.

Azira ditemui pada sesi temu bual bersama barisan pengacara program Pop! TV dan Pop! Express di studio ntv7 Glenmarie, Shah Alam di sini, baru-baru ini.

Walaupun banyak dapat tawaran mengacara, Azira mengakui jiwanya tetap pada bidang lakonan yang mula sebati dengan dirinya.

“Saya akan terbabit dengan telefilem Din Sardin Raya untuk saluran Astro nanti,” katanya.

Single baru bersama De Fam

Walaupun sibuk berlakon dan mengacara, Azira tetap tidak melupakan karier nyanyian bersama kumpulan De Fam.

Terbaru, De Fam yang turut dianggotai Manggis dan Sofea bakal muncul dengan single keempat, sekali gus ‘comeback’ dalam bidang nyanyian.

“Saya tetap mengutamakan kumpulan De Fam dari segala hal. Maklumlah, kami pernah susah dan senang bersama dalam bidang nyanyian sejak dulu. Tiada istilah cemburu kerana setiap anggota ada rezeki masing-masing dan kami saling menyokong antara satu sama lain. Manggis juga sudah terbabit dalam bidang lakonan dan membuka kelas tarian sekarang,” katanya.

Mengenai single keempat De Fam pula, kata Azira, ia dijangka siap selepas Aidilfitri nanti.

“Ia masih dalam proses pembikinan. Saya akan beritahu lebih terperinci komposer yang terbabit apabila semuanya sudah berjalan seperti direncanakan nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 2:40 AM