ANAK menantu dan cucu Abe Nor girang menyertai sukaneka yang dianjurkan.
ANAK menantu dan cucu Abe Nor girang menyertai sukaneka yang dianjurkan.
ABE Nor bersama empat isteri menyertai pertandingan rebut kerusi.
ABE Nor bersama empat isteri menyertai pertandingan rebut kerusi.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Marang: “Biarpun saya berkahwin empat, saya tidak pernah menyokong anak-anak saya untuk mengikut jejak langkah saya kerana ia bukan perkara yang mudah dan tanggungjawabnya sangat berat,” kata Mohd Nor Awang, 66, dari Kampung Tok Fakir, Merchang, Marang ketika ditemui pada Hari Keluarga Abe Nor, di sini, semalam.

Mohd Nor atau lebih mesra dipanggil Abe Nor berkata, dia mempunyai 18 anak dengan tiga daripada sembilan anak lelakinya sudah berkahwin.

“Perkahwinan bukan perkara main-main, jika mempunyai seorang isteri pun sudah tidak mampu untuk menjadi ketua keluarga yang baik, tidak mungkin mampu untuk beristeri lebih.

“Setakat ini, anak-anak tidak pernah menyatakan hasrat mereka untuk menambah ‘cawangan’, jika ada pasti saya akan menjadi orang pertama yang membangkang,” katanya yang mempunyai 18 anak berusia antara 13 hingga 43 tahun.

Katanya, sebagai bapa dia bertanggungjawab untuk memastikan kehidupan anaknya berserta lapan menantu dan 18 cucu hidup dalam suasana yang gembira.

“Saya bapa dan lebih tahu kemampuan anak-anak, sama ada mereka mampu mengikut jejak langkah saya atau sebaliknya.

“Buat masa ini, saya yakin anak-anak tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab berkahwin lebih daripada seorang.

“Apa guna berkahwin ramai jika suasana keluarga menjadi tidak aman dan ia perkara yang paling pantang dalam kamus hidup saya,” katanya.

Katanya, sehingga hari ini, amalan membaca surah Yasin dan solat hajat secara berjemaah pada setiap bulan masih diamalkan bagi memastikan ikatan kekeluargaan tetap kukuh selain hidup dalam suasana yang aman.

“Berkumpul pada setiap bulan bersama semua anak-anak, menantu dan cucu masih dijalankan seperti biasa kerana ia kunci utama kebahagiaan kami sehingga sekarang.

“Selain solat hajat dan bacaan surah Yasin, kami juga saling bertanya khabar dan jika mempunyai sebarang masalah ia akan diselesaikan secara bersama,” katanya.

Akhbar sebelum ini pernah melaporkan Mohd Nor Awang yang mempunyai tiga isteri iaitu Wan Rukiah Mat Yusoff, 61, Khalthum Dollah, 48 dan Noraini Daud, 50, berdepan masalah apabila permohonannya di Mahkamah Tinggi Syariah untuk berkahwin isteri keempat Suzi Sulong, 43, ditangguh pihak mahkamah.

Masalah itu mendorong ketiga-tiga isterinya membuat rayuan supaya membenarkan serta menyokong permohonan suami mereka.

Isteri pertamanya, Wan Rukiah dikahwini pada 1973 dan dikurniakan sembilan anak berusia 22 hingga 43 tahun manakala Khalthum dinikahinya pada 1987 dan dikurniakan empat anak berusia 21 hingga 28 tahun.

Dia kemudian berkahwin dengan Noraini pada 1988 dan dikurniakan lima anak berusia 13 hingga 27 tahun manakala isteri keempat, Suzi pada 10 Julai 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 5:54 AM