Kuala Lumpur: Cef selebriti, Chef Wan berkongsi berita perkahwinan ketiga anak lelakinya, Muhammad Nazri atau Riz menerusi hantaran di Instagram, semalam.

Dalam hantaran itu, Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail yang kini berada di Honolulu, Hawaii berkongsi mengenai ketiadaannya di majlis itu.

"Tahniah kepada anak saya atas perkahwinannya. Alhamdulillah. Ini perkahwinan ketiga anak saya dan kedua untuk menantu saya, Nurul.

"Kedua-dua mereka meminta restu saya beberapa minggu sebelum saya berlepas ke Honolulu. Memandangkan saya dah merancang percutian ini lebih dua tahun sebelum Covid-19 muncul lagi, saya tak dapat hadir ke majlis mereka.

"Mereka dah bertunang lebih setahun dan ini masanya mereka mengikat tali perkahwinan. Tambahan pula, ini perkahwinan ketiganya. Cukuplah saya kahwinkan anak-anak saya. Saya nak teruskan hidup saya dengan tenang dan bahagia," tulisnya.

Menurut Wan, dia juga sentiasa mendoakan kesejahteraan rumah tangga anak-anaknya.

"Semua dah dewasa. Pandai-pandailah nak cari kebahagiaan masing-masing. Saya restui mereka termasuklah Serina dan saya tak mahu apa-apa kecuali mendoakan kebahagiaan mereka.

"Saya berikan banyak duit untuk perkahwinan mereka. Ingat, tak semua ibu bapa akan lakukan benda sama tambah-tambah menaja 100 peratus majlis perkahwinan. Kahwin kali ketiga pun, bapa itu masih bermurah hati!

"Saya beritahu anak saya, dalam situasi sekarang jangan bazirkan duit nak bersanding, jemput ramai orang dan membazir. Cukup sekadar nikah, dihadiri oleh adik beradik saya yang mewakili saya," tulisnya.

Dalam hantaran sama, Wan juga turut memuat naik beberapa gambar majlis akad nikah Riz dan Nurul. Terdahulu, Riz pernah berkahwin dengan pelakon, Ana Dahlia. Mereka bercerai pada 10 Disember 2012, selepas 11 bulan mendirikan rumah tangga.

Perkahwinan kedua pula menyaksikan Riz berumah tangga dengan Shikin Maembong yang juga kakak kepada pelakon Emma Maembong pada 5 Disember 2014 sebelum bercerai pada Jun 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 10:07 PM