USTAZ Kazim sedia terima kecaman ekoran pendekatan dakwah melalui filem lakonannya, Zim Zim Ala Kazim.
USTAZ Kazim sedia terima kecaman ekoran pendekatan dakwah melalui filem lakonannya, Zim Zim Ala Kazim.
Syafil Syazwan Jefri


Melebarkan sayap dakwah menerusi seni lakonan tentunya membuka pintu risiko buat pendakwah, Datuk Ustaz Kazim Elias yang kini menjadi hero dalam filem berjudul Zim Zim Ala Kazim.

Sedia berdepan dengan apa juga kecaman dan kemungkinan, Kazim punya matlamat dan sasaran tersendiri dalam menyebarkan dakwahnya menerusi filem arahan Mawi ini.

"Bagi saya okay dan sampai mesejnya dalam bentuk santai. Ada komedi, seram, parodi dan serius untuk masyarakat. Walaupun filem ini adaptasi idea saya, tapi jalan ceritanya diolah dan dirombak oleh panel skrip. Saya okay saja. Alhamdulillah.

"Kita nak menjadikan sesuatu filem itu sesuai ditonton masyarakat dan tak ada siapa nak hentam kita. Untuk permulaan, mungkin 70 peratus. Jadi, tolong bagi sokongan dan kepercayaan kepada saya.

"Dulu, saya buat pelancongan di atas kapal yang mana ada macam-macam, sehinggalah kapal tadi bersih daripada kasino dan macam-macam lagi.

"Jadi, sasaran saya dalam filem adalah kita buat satu filem yang baik. Kru yang bagus, pelakon yang bagus, skrip yang bagus, pengarahan yang bagus dan hasil yang bagus supaya masyarakat dapat tengok dan tak jadi masalah," katanya.

Menurut Kazim, tindakan ini juga secara tidak langsung menunjukkan contoh kepada golongan agamawan untuk turun padang dan mendekati mereka yang dianggap menjalani kehidupan negatif selama ini seperti mereka yang bekerja dalam industri perfileman.

"Jadi, selama ini, asatizah atau sesiapa yang cakap 'Panggung wayang, begini, pelakon, begini, artis, begini'. Kenapa kita tak bercampur dan mendekati mereka.

USTAZ Kazim Elias punya matlamat sendiri apabila terjun ke dunia filem.
USTAZ Kazim Elias punya matlamat sendiri apabila terjun ke dunia filem.

"Ini filem dan skrip terbaik kami buat, supaya boleh menasihati. Saya cuba untuk merapatkan mereka dengan pelbagai syarat dan sebagainya. Bukan senang saya nak terima tawaran ini. Seperti yang saya katakan, tidak boleh bersentuhan.

"Contohnya, dalam babak saya muntah, watak isteri saya tak pegang saya. Mana ada dalam dunia, suami muntah darah, isteri buat bodoh saja. Tapi, dalam filem, tak boleh sentuh.

"Kedua, kena jaga solat di set. Kita buat sistem itu, alhamdulillah kita nampak filem ini boleh pergi. Cuma, kita perbaiki pada masa akan datang kalau ada kekurangan. Itu antara perjanjian yang saya buat dengan pasukan produksi.

"Selain itu, tak boleh ada babak yang budak-budak malu nak tengok. Bagi saya, pasukan produksi semuanya okay. Jaga solat walaupun kerja siang malam. Paling tersentuh, babak saya 'mati', kami solat Subuh dalam hutan. Ini benda yang patut dibuat. Kalau boleh, setiap set penggambaran itu ada surau untuk pelakon solat," katanya.

Menurutnya, sekiranya agamawan dan mereka yang bekerja dalam industri seni ini dapat bersatu tenaga, tentunya akan wujud karya-karya yang selesa ditonton.

"Kalaulah agamawan dan asatizah sertai mereka, boleh menasihati, semua seronok berlakon. Kita jadikan industri drama dan filem seronok dan selesa untuk ditonton," katanya.

Filem Zim Zim Ala Kazim ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 13 Jun lalu dan mengangkat kisah pengalaman Kazim berdepan ilmu hitam dalam bentuk komedi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 6:49 AM