ANAS akui seronok berlakon di bawah arahan sahabatnya, Mawi.
ANAS akui seronok berlakon di bawah arahan sahabatnya, Mawi.
Norhayati Nordin


MESKIPUN tidak sehebat abangnya, penyanyi dan komposer, Faizal Tahir, 46, yang dikenali ramai, namun penyampai radio serta pelakon, Anas Tahir, 41, sentiasa yakin dengan bakat seni dan peluang rezeki dimilikinya.

Teruja serta tidak sabar untuk muncul dengan filem Zim Zim Ala Kazim lakonannya di pawagam pada 13 Jun depan, Anas berkata, dia membawakan watak 'pencari entiti' atau paranormal bersama-sama tiga lagi rakan pelakon yang lain.

"Saya berganding dengan Bell Ngasri, Santesh Kumar dan Elvina Chua yang disatukan dalam kumpulan paranormal ala-ala macam 'Ghostbusters'. Tapi, menariknya kami bercakap dalam empat bahasa.

"Saya dalam bahasa Inggeris, Bell (bahasa Melayu) Santesh (Tamil) dan Elvina (Mandarin). Bagaimanapun, kami berempat saling memahami apa yang cuba disampaikan dan diperkatakan masing-masing.

"Memang unik konsep kumpulan 'Ghostbusters' yang Mawi sebagai pengarah filem Zim Zim Ala Kazim ketengahkan ini. Kami umpama 'Satu Malaysia' yang berbilang kaum, tapi saling menghormati," katanya.

Berbicara soal kerjasama, Anas atau nama sebenarnya, Anas Mohd Tahir berkata, dia tidak sangka mampu mewujudkan keserasian dalam lakonan bersama Bell, Santesh dan Elvina. Apatah lagi, bersama Bell yang cukup berpengalaman.

"Saya gembira mendapat tawaran daripada Mawi untuk membintangi filem Zim Zim Ala Kazim ini. Walaupun ia mengisahkan kejadian mistik dialami Ustaz Kazim, namun banyak mesej dan pengajaran ingin disampaikan kepada masyarakat.

ANAS berganding dengan Mawi dan Ustaz Kazim dalam filem Zim Zim Ala Kazim.
ANAS berganding dengan Mawi dan Ustaz Kazim dalam filem Zim Zim Ala Kazim.

"Harapan saya supaya filem Zim Zim Ala Kazim mendapat sambutan baik di pawagam nanti. Malah, kena tengok Ustaz Kazim berlakon sebagai 'hero' sebab tak sangka beliau pelakon yang baik dan lakonannya mantap," katanya.

Sebagai kumpulan paranormal yang sering melakukan aktiviti mencari 'entiti', empat sahabat itu mendapati Ustaz Kazim dalam bahaya selepas pelbagai perkara pelik berlaku sehingga mereka mengambil keputusan mahu membantu menyelamatkan pendakwah terbabit.

Menurut Anas lagi, filem Zim Zim Ala Kazim adalah karya ketiga sentuhan Mawi yang dibintanginya selain naskhah Tiada Tajuk dan Hantu Kuat Ketawa sebelum ini yang turut mendapat sambutan baik penonton.

"Buat masa ini, saya hanya berlakon dengan Mawi sebab mungkin dia (Mawi) yang berani dan benar-benar yakin dengan bakat saya. Malah, Mawi juga sangat faham watak sesuai yang boleh diberikan kepada saya.

"Apa pun, Mawi tidak ambil saya berlakon sebab kami ini berkawan baik. Saya pernah tanya kepadanya dan dia jawab sebab saya istimewa serta ada bakat lakonan," katanya.

Diterbitkan oleh MW Entertainment Sdn Bhd, filem Zim Zim Ala Kazim yang siap dihasilkan pada 2022 membariskan pelakon lain seperti Mawi sendiri, Man Raja Lawak, Maimunah Ahmad atau Mak Jah dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 6:20 AM