Ustaz Kazim
Ustaz Kazim
Norhayati Nordin


 

Kuala Lumpur: Penceramah dan pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim, 52, mengakui beliau masih lagi bergelut dengan kesukaran untuk tidur malam sejak 15 tahun lalu akibat gangguan sihir yang dialaminya pada 1997.

Ustaz Kazim berkata, walaupun tahap kesihatannya kini semakin pulih, namun kesan daripada sihir yang pernah menimpa dirinya itu tidak hilang-hilang berikutan sudah 'bertapak' di dalam badan.

"Saya mula kena sihir pada 1997 dan sudah agak lama. Alhamdulillah, syukur kini keadaan kesihatan saya semakin pulih sejak 2021 lalu.

"Bagaimanapun, sampai sekarang saya menghadapi kesukaran tidur malam sejak 15 tahun lalu. Saya hanya boleh tidur kalau dalam kereta saja. 

"Jadi, kalau malam saya hendak tidur, saya akan minta pemandu bawa kereta ke Tanjung Malim misalnya, kemudian patah balik. Jadi, dapatlah saya tidur selama dua hingga tiga jam," katanya kepada Harian Metro. 

Terdahulu, Ustaz Kazim hadir pada sesi fotografi bersama Mawi dan Anas Tahir di Studio NSTP, Balai Berita, di sini, hari ini sempena promosi filem Zim Zim Ala Kazim lakonan mereka yang akan menemui penonton di pawagam tanah air pada 13 Jun depan.

Mengulas juga rawatan doktor diterimanya, Ustaz Kazim berkata, beliau sudah melalui beberapa kali pembedahan sebelum ini, namun masalah kesihatannya tidak juga pulih sehingga beliau mengambil inisiatif belajar cara rawatan Islam sendiri.

"Sihir ini tidak akan pernah hilang sepenuhnya kerana 'tapak' atau 'bekas' daripada gangguan itu sentiasa masih ada di dalam badan. Disebabkan itu kalau saya pergi ke tempat yang ada gangguan, saya akan rasa tidak kena.

"Malah, kalau teruk sangat gangguannya, saya tidak akan balik ke rumah dan menginap di hotel saja. Apapun, isteri dan anak-anak saya sudah terbiasa dengan gangguan-gangguan yang datang itu, dah tak boleh buat apa," katanya.

Ustaz Kazim yang juga hero dalam filem Zim Zim Ala Kazim berkata, tujuan beliau berkongsi kisahnya yang terkena sihir supaya penonton mengetahui kesan buruk daripada perbuatan ilmu hitam itu. 

"Dalam filem ini, saya hendak mengajak orang ramai supaya jangan mengamalkan sihir kerana ia perbuatan syirik, termasuk membuka mata ramai agar menjaga diri kita untuk tidak menyebabkan orang lain menghantar sihir berkenaan. 

"Jadi, saya hendak ajak orang di luar sana untuk lebih menjaga tutur kata kerana tidak semestinya baik yang kita cakap, ia akan diterima dengan baik oleh orang lain juga. Sebabnya, saya disihir dulu kerana orang menghantar sihir itu terasa hati pada kata-kata saya," katanya.

Selain Ustaz Kazim, filem Zim Zim Ala Kazim terbitan MW Entertainment Sdn Bhd yang diarahkan Mawi itu, turut menampilkan pelakon lain seperti Bell Ngasri, Anas Tahir, Shanthesh Kumar, Elvina Chua, Man Raja Lawak, Maimunah Ahmad dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 9:06 PM