Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pengarah yang juga penerbit filem Zim Zim Ala Kazim, Mawi, 43, bersyukur apabila filem kedua arahannya itu berjaya mencatat kutipan sebanyak RM3 juta selepas 11 hari tayangan.

Mawi berkata, dia tidak menyangka berjaya mengaut kutipan sebanyak itu dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia, Brunei dan Singapura yang menyokong filemnya.

"Memang dari awal tayangan tempoh hari pun nampak sambutan filem ini bagus. Saya anggap apa yang terjadi adalah rezeki.

"Pertamanya orang tengok filem ini sebab nak tengok cerita Ustaz Kazim. Selepas tengok, mereka beri maklum balas positif dari mulut ke mulut kata cerita ini menghiburkan mereka dan suka semuanya.

"Jadi dari situ, orang pun bertambah-tambah nak pergi tengok cerita ini di pawagam," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sasaran penonton filem ini juga tepat merangkumi semua golongan iaitu dari kanak-kanak sehinggalah kepada semua peringkat umur.

"Kebanyakan keluarga pula, sekali datang bawa 10 hingga 15 orang. Anak-anak pula bawa mak ayah sebab mereka nak tengok Ustaz Kazim.

"Biasanya Skim Wajib Tayang adalah untuk tempoh seminggu, tapi kalau ada sambutan pawagam akan kekalkan lagi tayangan dan takkan keluarkan filem ini.

"Setakat ini selagi ada sambutan untuk minggu kedua, Zim Zim Ala Kazim akan kekal lagilah. Tayangan pun banyak lagi," katanya.

Mawi berkata, disebabkan sambutan hebat, ada beberapa pawagam menambah lagi waktu tayangan filem ini.

"Asalnya ada lebih 40 tayangan. Sekarang dah jadi 60. Selepas dua hari, Zim Zim Ala Kazim dapat sambutan dan permintaan tinggi, TGV tambah lagi pawagam menjadikan 74 pawagam menayangkannya.

Mula ditayangkan sejak 13 Jun lalu, filem ini diterajui Datuk Ustaz Kazim Elias dan turut menampilkan Mawi sendiri, Bell Ngasri, Anas Tahir, Elvina Chuah, Zarina Anjoulie dan ramai lagi.

Zim Zim Ala Kazim berkisar mengenai pendakwah popular, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias yang pernah terkena penyakit misteri akibat disihir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 4:55 PM