Azlee Senario
Azlee Senario
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Anggota kumpulan Senario, Azlee dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas dilaporkan menerima rawatan kecemasan di Hospital Sungai Buloh akibat serangan jantung pada pagi, hari ini.

Berita itu dikongsikan pelawak, Ropie di Instagram sebentar tadi.

Menerusi hantaran itu, Ropie berkongsi satu tangkap layar kiriman WhatsApp daripada seorang kenalan yang memaklumkan Azlee sedang dalam perjalanan ke IJN.

"Marilah sama-sama kita mendoakan semoga teman kita Azlee Senario diberikan sepenuh kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan," katanya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi keluarga Azlee bagi mendapatkan keadaan terkini pelawak itu tidak berjaya.

Dalam pada itu, Ropie ketika dihubungi memaklumkan, setakat ini dia belum mendapat sebarang maklumat terkini mengenai keadaan rakan baiknya itu.

"Saya dapat tahu daripada seorang kenalan yang memaklumkan Azlee dikejarkan ke IJN pagi ini.

"Disebabkan saya terikat dengan penggambaran sekarang, saya hanya dapat muat naik hantaran supaya lebih ramai dapat mendoakan kesihatannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 12:55 PM