AZLEE.
AZLEE.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Anggota kumpulan Senario, Azlee yang mengalami serangan jantung petang semalam kini berada dalam keadaan stabil, namun masih dalam pemantauan doktor di Unit Penjagaan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN), di sini.

Isterinya, Aslinda Ayob ketika dihubungi berkata, petang semalam suaminya tiba-tiba mengadu sakit di bahagian dada dan berpeluh hingga terpaksa memujuknya ke klinik untuk mendapatkan rawatan segera.

"Namun, apabila tiba di klinik doktor maklumkan suami saya kritikal dan perlu dikejarkan ke hospital secepat mungkin.

"Jadi, pihak klinik menghubungi ambulans dan membawanya ke Hospital Sungai Buloh sebelum dikejarkan ke IJN selepas saluran darah sudah tersumbat hampir 90 peratus.

"Alhamdulillah malam tadi dia selamat menjalani pembedahan dan doktor meletakkan stent bagi membantu membuka saluran darah yang tersumbat. Sekarang ini Azlee dilaporkan stabil, tapi masih berada di bawah pantauan doktor di CCU," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aslinda, sepatutnya hari ini Azlee bertolak ke Gua Musang, Kelantan untuk menghadiri jemputan persembahan bersama anggota Senario, namun terpaksa menolak tawaran itu.

"Sejak malam tadi ramai rakan-rakan selebriti dan kenalan terdekat yang datang ke IJN untuk mengetahui perkembangan Azlee. Alhamdulillah dia baik-baik saja sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 3:03 PM