Azlee Senario. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Azlee Senario. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syafil Syazwan Jefri


Sungai Buloh: Pelawak veteran, Azlee Jaafar, 57, atau lebih dikenali Azlee Senario menasihatkan golongan anak seni untuk membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menerima manfaat tatkala berdepan kecelakaan.

Azlee berkata, dia sendiri juga alpa mengenai perkara itu, namun, mula sedar akan kepentingannya selepas mendapat penjelasan terperinci dan diduga dengan penyakit kronik.

"Pada peringkat awalnya, kalau tak diberitahu, saya pun alpa bab itu. Dalam fikiran saya, apabila dah bersara, caruman itu pun dah tamat di situ sedangkan kita boleh carumkan sendiri.

"Dengan adanya persatuan yang memainkan peranan, saya rasa, ia satu manfaat yang bagus. Saya sarankan kepada rakan-rakan artis, tak kiralah dia penyanyi, pelakon, pelawak, komposer, pemuzik, penulis atau apa pun, dengan adanya persatuan yang diwakilkan Perkeso untuk mencarum, kena buat.

"Kita ada subsidi dan sebagainya. Jagalah kesihatan kita. Dengan siapa lagi kita nak minta bantuan. Selagi ada persatuan yang prihatin dengan kita, gunakanlah peluang itu," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Azlee, caruman ini juga penting dan tidak seharusnya dipandang remeh memandangkan banyak manfaat di masa akan datang sekiranya berlaku kecemasan.

"Saya tengok, kadang-kadang kita ini, bukan saya sahaja, tapi ramai juga sebenarnya yang susah, ada yang sakit dan bukan sahaja artis. Jadi, pada saya memang perlu ada caruman Perkeso. Kadang-kadang, mereka ini pergi mendengar taklimat.

"Tapi, selepas pulang ke rumah, dah lupa. Sedangkan, benda ini tak boleh dipandang remeh. Sebab itu ketika kita masih bekerja, ada potongan untuk caruman. Ada sebab kerana ia berguna ketika berlaku kecelakaan atau kemalangan. Insya-Allah," katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zed Zaidi berkata, konsep yang dibawa menerusi Program Ziarah Madani anjuran Finas adalah bagi menziarahi dan menyantuni penggiat seni yang berdepan masalah.

"Ini salah satu konsep menerusi Jawatankuasa Kebajikan dan hasrat Pengerusi Finas serta Kementerian untuk datang membantu mana yang perlu.

"Kami juga ada rakan strategik seperti Perkeso dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim). Abang Azlee adalah salah seorang yang ada dalam senarai ziarah.

"Sebelum ini, kami dah senaraikan lebih 50 penggiat seni termasuklah artis, kru dan pekerja belakang tabir. Jadi, kami menziarahi Abang Azlee," katanya.

Turut hadir ke kediaman Azlee di Saujana Utama adalah, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Perkeso Mohamad Haron Othman dan Zed sendiri.

Azlee turut menerima sumbangan daripada Mapim dan Finas.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai Azlee yang diduga dengan serangan jantung dan baru-baru ini menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 3:26 PM