Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Keadaan saya waktu itu sangat kritikal. Kalau saya lewat ke hospital mungkin sudah tidak bernyawa lagi," kata anggota kumpulan Senario, Azlee Jaafar menceritakan detik cemas ketika mengalami serangan jantung di rumahnya, petang kelmarin.

Azlee ketika dihubungi berkata, ketika itu dia merasakan jantungnya seolah-olah dipukul hingga menyukarkannya untuk bernafas dan mengalami peluh sejuk.

"Saya mengalami kesukaran untuk bernafas tapi saya gagahkan diri untuk mandi dengan harapan keadaan saya boleh kembali normal.

"Rupa-rupanya peluh yang keluar dari badan lebih banyak daripada saya mandi. Jadi, dalam keadaan tercungap-cungap dan nafas saya kadangkala terhenti, saya terus ke klinik tapi mereka tidak berani nak melakukan sebarang rawatan dan minta ke hospital.

"Apabila tiba di Hospital Sungai Buloh, mereka membawa saya ke IJN (Institut Jantung Negara) kerana di sana boleh buat rawatan jantung dengan cepat," katanya kepada Harian Metro.

Azlee berkata, dia bersyukur apabila kembali stabil selepas doktor melakukan prosedur peletakan stent, namun belum dibenarkan pulang kerana keadaan jantungnya belum memuaskan lagi.

Menurut Azlee, doktor memaklumkan keadaannya ketika itu sangat kritikal kerana salah satu urat pada injap jantungnya putus.

"Alhamdulillah, saya rasa semakin baik dan stabil hari ini. Masa mula-mula kena serangan jantung itu memang seperti tak bernyawa kerana berlaku secara tiba-tiba. Saya pun tiada pengalaman itu sebelum ini.

"Doktor beritahu kalau saya tak buat pembedahan dengan segera, jantung saya boleh berhenti bila-bila masa saja kerana masalah urat yang putus pada salah satu injap jantung. Ia menyebabkan darah tidak mengalir dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 3:39 PM