Jaclyn Victor. FOTO Aziah Azmee
Jaclyn Victor. FOTO Aziah Azmee
Zaara Talita


Putrajaya : Penyanyi Jaclyn Victor berkongsi rasa gembira dengan berita bekas suaminya, Shawn Rivera bertemu jodoh buat kali kedua sekitar April lalu.

Jaclyn atau lebih mesra disapa Jac, 46, berkata, dia mengetahui berita berkenaan menerusi laman Instagram bekas suaminya dan meninggalkan ucapan tahniah atas perkahwinan berkenaan.

"Sudah tentu saya tahu. Sejujurnya saya sangat gembira, sebab sebelum ini dia berkata tidak mahu berkahwin lagi, namun akhirnya bertemu dengan seseorang dan berkahwin.

"Saya ada memberikan ucapan tahniah di Instagram Story dengan kapsyen mendoakan yang terbaik buat mereka. Saya doakan dia dan isterinya bahagia selamanya.

"Saya tak tahu mengenai perkahwinan mereka, namun hanya mengetahui menerusi Instagram. Dia (bekas suami) membuat pengumuman di Instagram saja.

"Kami masih lagi berkawan dan cuba untuk menjadi yang terbaik untuk anak-anak. Malah, bekas suami masih lagi berhubung untuk berkomunikasi untuk anak-anak," katanya.

Pasangan itu berkahwin di sebuah gereja bersejarah di Philadelphia, Amerika Syarikat pada 19 Julai 2014 dan bercerai selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

Tambah pelantun lagu Gemilang itu lagi, bekas suaminya tidak tinggal di negara ini sebaliknya dia bergantung pada teknologi untuk berhubung dengan anak-anak.

"Kebetulan pada awal Mei lalu, dia ada pulang ke Malaysia dan sempat bertemu dengan anak-anak," kata juara Malaysian Idol musim pertama itu.

Jac bakal mengadakan konsert solo pertamanya pada 12 Oktober depan di Zepp, Kuala Lumpur selepas 20 tahun berkecimpung dalam bidang seni.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 6:20 PM