Zaara Talita


NAMA penyanyi bersuara lantang Jaclyn Victor, 44, semakin menjadi perhatian sejak bertanding dalam program Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9).

Disebut antara bakal juara GV9, Jac mengakui tidak dapat untuk menduga keputusan yang sukar dijangka.

Ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab dan mencapai jangkaan peminat.

"Saya cuba untuk memberikan yang terbaik setiap minggu dan selebihnya saya serahkan kepada juri untuk menilai. Setiap peserta yang bertanding untuk GV9 kali ini mempunyai kekuatan masing-masing.

"Namun istimewanya kali ini kerana kami mempunyai hubungan yang sangat erat seperti sebuah keluarga. Saling membantu dan dalam masa yang sama memberikan sebaik mungkin ketika persembahan," katanya.

Jac yang juga peserta yang sering meraih markah tertinggi setiap minggu mendedahkan mempunyai masalah hidung bengkok yang memberi kesan kepada suara dan nyanyiannya.

Minggu lalu, Jac terus memperlihatkan kemampuan pengawalan vokal yang terbaik dan mampu bergandingan baik dengan penyanyi vokal memukau, Aina Abdul dalam lagu Cinta yang dipopularkan Marsha Milan.

Gandingan Jac dan Aina sebagai persembahan terakhir menggamatkan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

JAC takut akan jangkaan dan harapan peminat terhadap dirinya.
JAC takut akan jangkaan dan harapan peminat terhadap dirinya.

Malah, ketiga-tiga juri iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat kagum dengan persembahan mereka. Hetty turut memberikan 'standing ovation'.

Dalam pada itu, Jac turut meluahkan kebimbangan di mana sejak kebelakangan ini hidungnya menjadi terlalu sensitif kepada persekitaran.

"Hidung saya memang terlalu bengkok, tetapi selama ini tidak mempunyai masalah. Bila saya membuat pemeriksaan, doktor memberitahu hidung saya terlalu sensitif kepada persekitaran seperti asap rokok, vape, habuk dan tidak boleh sejuk," katanya.

JAC terus memperlihat kemampuan pengawalan vokal yang terbaik.
JAC terus memperlihat kemampuan pengawalan vokal yang terbaik.

Selain itu menurut Jac, cabaran untuk dirinya sekarang ialah untuk memberikan lebih masa dengan anak-anak.

"Saya kena membahagikan masa untuk diri sendiri, perniagaan dan anak-anak.

"Tak cukup tidur itu biasa. Ini kerana dalam seminggu, lebih dari tiga kali saya luangkan masa di restoran selepas terbabit dalam urusan perniagaan sejak setahun lalu. Saya kena jaga akaun dan pengurusan perniagaan. Banyak yang dah saya belajar dalam tempoh dua tahun ini," katanya.

Biarpun mempunyai pembantu, tetapi tidak sama dengan sentuhan belaiannya terhadap mereka.

JAC masih cuba mengawal rasa gugup supaya tidak keterlaluan.
JAC masih cuba mengawal rasa gugup supaya tidak keterlaluan.

Dalam pada itu, Jac mengakui dia berdepan dengan masalah gugup sebelum membuat persembahan sehingga membuatkan dia muntah.

"Mungkin ramai yang tidak tahu, saya mempunyai masalah gugup yang sangat teruk sehinggakan boleh muntah-muntah sebelum naik ke pentas," katanya.

Jac berkata, dia masih cuba mengawal rasa gugup supaya tidak keterlaluan tetapi belum dapat cara bagi menanganinya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 6:00 AM