Ridzuan Abdul Rahman

[email protected]

LAGU tradisional genre keroncong dan ghazal sememangnya tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan.

Justeru, Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal anjuran Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) berjaya menarik peminat memenuhi ruang Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC, baru-baru ini.

Penampilan penyanyi legenda, Datuk Yusni Hamid yang bekerjasama dengan penyanyi generasi baharu, Haziq Rosebi dan Asmidar Ahmad ternyata mencipta keserasian tersendiri.

Konsert yang dipimpin konduktor MPO, Ahmad Muriz Che Rose dengan iringan 65 pemuzik orkestra dan tujuh pemuzik tradisional ini menyerlahkan kehebatan sebenar pemuzik mereka selepas lebih 10 tahun tidak mengadakan genre ini.

Asmidar tampil dengan rangkaian lagu malar segar antaranya Sayang Di Sayang, Melati Di Tapal Batas dan Puteri Ledang, manakala Haziq dengan lagu Pak Ngah Balik, Payung Mahkota dan Ambang Sore.

Kemunculan Yusni mendapat tepukan gemuruh peminat dan dia menyampaikan rangkaian medley Sayang Musalmah, Musalmah Manis dan Di Bawah Sinar Bulan Purnama.

VOKAL Asmidar terkawal dan mengesankan hati penonton.
VOKAL Asmidar terkawal dan mengesankan hati penonton.

Yusni kemudian berduet dengan Asmidar menyampaikan lagu Moon Represents My Heart dan Tien Mi Mi.

Lagu lain yang menjadi halwa telinga penonton ialah Kenang Daku Dalam Doa Mu, medley Seri Mersing, Seri Siantan dan Kini Hati Ku Telah Tertawan nyanyian Haziq Rosebi.

Tidak ketinggalan lagu (Uda & Dara - Haziq Rosebi & Asmidar), (Biar Sampai Ke Bintang, Di Pinggir Kayangan, medley Aksi Kucing & Rojak Ule-Asmidar).

Yusni seterusnya tampil semula dengan lagu Sampaikan Salamku dan medley Tinggalah Mustika Hati dan Bisikan Hati. Persembahan diakhiri dengan paduan suara mereka bertiga menerusi lagu Kemayoran.

HAZIQ dengan suara lunaknya yang dikatakan iras seniman Datuk Ahmad Jais.
HAZIQ dengan suara lunaknya yang dikatakan iras seniman Datuk Ahmad Jais.

Ketiga-tiga penyanyi hebat ini mengakui sangat berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan.

"Kita kena betul-betul membabitkan diri. Tak boleh ambil ringan. Kena serius dalam persembahan begini.

"Bermula daripada latihan kurang menjadi sehinggalah ia sempurna," kata Yusni.

Ahmad Muriz pula berkata, pilihan lagu dibuat secara bersama oleh pihaknya dan artis terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 6:30 AM