AHMAD Muriz (dua dari kanan) bersama barisan artis yang akan membuat persembahan di Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal.
AHMAD Muriz (dua dari kanan) bersama barisan artis yang akan membuat persembahan di Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal.
Syafil Syazwan Jefri


KEPELBAGAIAN genre muzik di Malaysia tidak hanya terhad kepada muzik yang berteraskan moden semata-mata. Kita menjadi negara kaya dengan budaya hasil asimilasi pelbagai budaya lalu, bercambah menjadi cabang muzik yang indah.

Antaranya, muzik keroncong dan ghazal yang mana memiliki sejarah panjang di negara kita. Kini, kedua-dua genre ini bakal dikembang dan dipentaskan di Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) KLCC, pada 2 Mac depan.

Dipimpin oleh pengarah muzik dan konduktor orkestra, Ahmad Muriz Che Rose, Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal menampilkan tiga penyanyi yang cukup dikenali sebagai 'penyanyi diraja' iaitu Datuk Yusni Hamid, Haziq Rosebi dan Asmidar.

"Selepas lebih 10 tahun, tiba masanya untuk kami ketengahkan kembali konsert berkonsepkan keroncong dan ghazal. Kali ini kami pelbagaikan seleksi lagu yang bukan saja dari genre keroncong dan ghazal semata-mata.

"Kami tambahkan warna dan ketengahkan lagu bergenre lain yang digubah semula dalam bentuk simfoni. Barisan artis yang terbabit juga adalah dalam kalangan pemain industri muzik," kata Ahmad Muriz.

Berkongsi mengenai pemilihan penyanyi untuk tampil mengalunkan dendangan vokal di pentas keramat DFP itu, Ahmad Muriz memberitahu, setiap daripada mereka memiliki kekuatan tersendiri, terutama dalam genre muzik tradisional.

"Pemilihan Haziq, kena pada masanya untuk kami mantapkan seleksi lagu keroncong serta ghazal. Asmidar pula sudah banyak membuat persembahan di dalam dan luar negara. Bahkan, dia juga dikenali sebagai penyanyi dalam kategori lagu tradisional.

"Dia adalah penyanyi yang memiliki banyak sisi berbeza dan saya rasa dia (Asmidar) boleh memacu hala tuju konsep yang kami ingin bawakan.

"Datuk Yusni Hamid pastinya adalah idola dalam dunia muzik keroncong. Jadi, tak keterlaluan sekiranya beliau (Yusni) yang saya anggap sebagai bonda, turut saya gelarkan sebagai pakar rujuk dalam muzik keroncong.

"Ramai penyanyi generasi baharu yang menyanjung tinggi nama Yusni serta cara pembawakannya. Dari situ saja, pemilihan semua penyanyi berkaliber ini membawa pengalaman penuh magis bagi acara konsert nanti," katanya.

Tidak hanya dendangan penyanyi bersuara lemak merdu itu, menariknya Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal ini juga menampilkan tujuh pemuzik keroncong dan ghazal di samping 65 pemuzik orkestra yang mengiringi kira-kira 20 lagu.

"Dengan penggunaan pelbagai alat muzik keroncong dan ghazal, ia menambah lagi suasana dan pengalaman menarik yang akan disajikan kepada penonton.

"Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal ini umpama merakyatkan 'penyanyi-penyanyi diraja' ini dan membawa mereka lebih dekat kepada penonton dalam kalangan orang awam," katanya.

Ahmad Muriz juga berharap kehadiran Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal ini menarik minat generasi baharu masa kini untuk mencintai dan menghargai warisan budaya muzik kita.

"Tidak dinafikan, kita ada lambakan acara persembahan yang boleh dipilih. Namun, dalam genre ini termasuk skala sebesar ini, dengan warna yang kami bawakan, ia adalah sesuatu yang jarang diadakan terutama bagi generasi baharu.

"Jadi, dengan penganjuran acara buat julung kali ini, diharap generasi baharu yang mencintai muzik boleh menjadi penerus dalam membawa obor jati diri muzik tradisi kita di masa akan datang.

"Tak kenal, maka tak cinta. Bila kita cuba belajar dan fahami muzik ini, kita akan nampak keindahannya. Saya nampak ia sebagai satu warna berbeza dalam muzik," katanya.

Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal bakal menampilkan seleksi lagu asli keroncong dan ghazal serta turut menampilkan karya lagu daripada genre lain yang digubah semula secara simfoni mengikut tema keroncong dan ghazal.

Antara lagu yang akan dipersembahkan adalah Sayang Di Sayang, Bisikan Hati, Tinggallah Mustika Hati, Melati di Tapal Batas, Puteri Ledang, Kini Hatiku Telah Tertawan, Di Ambang Sore, Kenang Daku Dalam Doamu dan Pak Ngah Balik.

Selain Ahmad Muriz yang juga bertindak sebagai penggubah muzik, Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal juga menyaksikan barisan penggubah muzik lain seperti Luqman Aziz, Ilham Subri dan Azhad Sulaiman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 6:30 AM