KONSERT Inteam 20 Tahun Di Hati berjaya hiburkan 3,000 penonton dalam dan luar negara secara dalam talian. FOTO Mohd Yusni Ariffin
KONSERT Inteam 20 Tahun Di Hati berjaya hiburkan 3,000 penonton dalam dan luar negara secara dalam talian. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Ridzuan Abdul Rahman


PERSEMBAHAN yang memukau dan menghiburkan. Itulah kesimpulan mengenai Konsert Inteam 20 Tahun Di Hati yang berlangsung di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Selangor, baru-baru ini.

Inteam yang dianggotai Mohd Syahril Abdul Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman berjaya menghiburkan hampir 3,000 penonton dalam dan luar negara secara dalam talian dengan rangkaian 24 lagu popular mereka.

Pengalaman selama 20 tahun dalam bidang seni dimanfaatkan sebaik mungkin oleh mereka bagi menampilkan persembahan yang mantap.

Mereka mengadunkan pelbagai elemen menarik menerusi konsert selama dua jam 45 minit yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Unlisted.

Menyaksikan persembahan mereka bagaikan dibawa berputar menaiki roda kenangan apabila Inteam bijak mengadunkan lagu popular mereka yang dibahagikan kepada empat segmen iaitu Cinta Manusia, Cinta Rasul, Cinta Allah dan Cinta Hit Song.

LAH Ahmad turut dijemput dalam  Konsert Inteam 20 Tahun Di Hati. FOTO Mohd Yusni Ariffin
LAH Ahmad turut dijemput dalam Konsert Inteam 20 Tahun Di Hati. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Lagu-lagu yang dinyanyikan mereka ialah Akrab Persahabatan, Kasih Kekasih, Impian Kasih dan rangkaian lagu Medley Cinta (Kasihku Abadi, Bisikan Nurani, Doa Seorang Kekasih).

Inteam juga tidak ketinggalan menjemput sifu mereka dalam nasyid iaitu Hijjaz dan berduet menerusi lagu Rasulullah dan Sumayyah.

Manakala untuk lagu Nur Kasih pula, mereka berduet bersama Munif Hijjaz dan UNIC. Inteam juga menyanyikan lagu Rabiatul Adawiyah bersama UNIC dan Dr Fitri Haris.

Tidak ketinggalan Inteam turut mengundang anak didik mereka, kumpulan Zayne yang menyanyikan lagu Ya Badratim dan berduet menerusi lagu Solatun Bissalamil Mubin.

PERSEMBAHAN konsert secara dalam talian mendapat sambutan hebat. FOTO Mohd Yusni Ariffin
PERSEMBAHAN konsert secara dalam talian mendapat sambutan hebat. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Lagu-lagu lain yang dinyanyikan ialah Dia Muhammad, Pemergianmu, Wanita, Damba Kasih dan Dia.

Inteam juga tampil dengan Medley Serikandi (Ratu Syahadah, Halimatus Saadiah, Siti Khadijah) dan Medley Ketuhanan (Tuhan Yang Esa, Tanpa-Mu, Sutera Kasih).

Sebagai bonus, Inteam turut menjemput beberapa artis yang tampil secara solo dan berduet bersama mereka.

Lah Ahmad tampil dengan lagu Sempurna dan Terbaik. Khai Bahar pula dengan lagu Luluh dan lagu duet Setanggi Syurga 2020. Kumpulan Exists dengan lagu Seperti Dulu, Rahsia Pohon Cemara dan lagu duet Bunga.

Inteam juga tampil menyanyikan lagu Flying Without Wings secara duet dengan Lah Ahmad dan Terima Kasih bersama Ikhwan Fatanna.

Ditemui selepas konsert, Inteam melahirkan kesyukuran kerana konsert berjalan lancar seperti dirancang.

KUMPULAN Hijjaz  dalam  Konsert Inteam 20 Tahun Di Hati. FOTO Mohd Yusni Ariffin
KUMPULAN Hijjaz dalam Konsert Inteam 20 Tahun Di Hati. FOTO Mohd Yusni Ariffin

"Alhamdulillah, apa yang dirancang dan diusahakan selama ini berjaya dilaksanakan dengan baik. Konsert ini sangat bermakna bagi kami kerana ia meraikan ulang tahun ke-20 Inteam berada di dalam industri seni tanah air. Hanya Allah mampu membalas sokongan peminat, media dan mereka yang berusaha di belakang tabir," kata mereka.

Konsert bertemakan Terima Kasih itu mendapat sokongan dana melalui Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM300,000 yang dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 6:15 AM