LAGU mengenai pengorbanan ibu dan bapa.
LAGU mengenai pengorbanan ibu dan bapa.
Zaara Talita


Selepas muncul juara dalam program nyanyian, The Chosen One, penyanyi cilik berusia 13 tahun, Amir Sisi muncul dengan single sulung berjudul Ayah Ibu.

Terdahulu, Amir melakar sejarah apabila menjadi anak Orang Asli pertama yang menjuarai program realiti nyanyian di Malaysia.

Lagu ciptaan Ikhwan Fatanna itu berkisar mengenai pengorbanan bapa dan ibu dalam membesarkan anak-anak.

Mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini juga begitu dekat dengan kehidupan Amir sendiri yang berasal dari kawasan pedalaman.

Amir dari suku Temiar yang berasal dari Pos Kemar, Gerik, Perak berkata, dia gembira apabila dapat menyanyikan lagu itu yang juga hadiah daripada Rocketfuel Entertainment atas kemenangannya dalam program realiti berkenaan.

"Saya sangat gembira dan teruja dengan lagu ini sebab ini adalah single pertama saya. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan kepada saya khususnya ibu bapa, tenaga pengajar dan rakan-rakan yang ada bersama sejak dari mula sehingga ke hari ini.

"Saya juga berterima kasih kepada pihak Rocketfuel Entertainment kerana percaya dengan saya untuk menghasilkan lagu ini," katanya.

Selain bersyukur dengan peluang yang diberikan, Amir mengakui perjalanan kerjayanya masih jauh memandangkan dia masih hijau dalam bidang seni.

TAMPIL dengan single sulung selepas muncul juara program The Chosen One.
TAMPIL dengan single sulung selepas muncul juara program The Chosen One.

"Perasaan ini sangat sukar digambarkan dengan kata-kata, jadi saya berharap agar lagu ini dapat memberi kesan yang baik kepada semua dan mesej yang disampaikan dapat diterima ramai.

"Teruskan memberi sokongan yang padu dan saya berjanji akan sentiasa membanggakan ibu dan ayah saya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Anand berkata, pihaknya sudah melihat bakat Amir sejak dia menyertai program nyanyian berkenaan.

"Apabila Amir dinobatkan sebagai juara, kami merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk terus membantu mengembangkan bakatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 6:30 AM