INDAH tampil dengan single berjudul Indah.
INDAH tampil dengan single berjudul Indah.
Zaara Talita


SIAPA sangka perjalanan seni penyanyi cantik bersuara lunak, Indah Ruhaila, 36, ini sudah pun menjangkau 15 tahun.

Berbekalkan semangat dan cintanya terhadap bidang nyanyian, Indah kembali menghiburkan peminat dengan single terbaharu yang diberikan judul namanya sendiri, Indah.

Buah tangan terbaharu Indah ini hasil ciptaan komposer muda yang semakin mencipta nama, Firdaus Rahmat dan diterbitkan Rocketfuel Entertainment.

"Alhamdulillah, saya masih giat memperjuangkan bakat yang dikurniakan Allah SWT dan aktif menerima undangan nyanyian di sana sini. Dalam pada itu, saya turut bersyukur dengan kelahiran single terbaharu ini.

"Buah tangan ini adalah yang pertama di bawah Rocketfuel Entertainment. Jadi, semestinya saya terharu dan gembira kerana sudah lama tidak muncul dengan lagu baharu.

"Sebenarnya saya agak memilih dalam penghasilan sesebuah karya kerana hendak pastikan lagu yang dihasilkan betul-betul bermutu, menepati cita rasa saya dan paling penting, dapat menarik perhatian peminat," katanya.

Lagu berjudul Percayalah yang popular pada 2013 membawa nama Indah sebagai antara penghibur dikenali ketika itu.

Lebih manis apabila lagu ciptaan Aiman itu layak ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-29, (AJL29) setahun selepas itu. Selepas menjejakkan kaki ke pentas AJL29, nama Indah seakan-akan tenggelam, hilang entah ke mana.

Keadaan itu sedikit sebanyak mempengaruhi sudut pandang Indah dalam dunia seni apabila mengakui tidak mengejar populariti kerana percaya dengan rezeki daripada Tuhan.

Mengulas mengenai single terbaharunya, Indah berkata, lagu itu adalah buah fikirannya sendiri yang mahukan kelainan dalam komposisi melodinya.

Malah, ia seperti melambangkan transformasi dirinya yang juga penyanyi berpengalaman dan lebih matang dalam berkarya.

"Jalan cerita lagu ini datang daripada saya. Selepas berbincang dengan Firdaus, hasilnya sebuah karya berbeza dan kedengaran sedikit segar serta lebih sesuai dengan penggemar muzik masa kini.

"Ia menceritakan mengenai kemampuan seseorang wanita yang pasti beroleh kebahagiaan jika mereka mencintai diri sendiri dulu. Seterusnya perasaan 'indah' itu akan datang dengan sendirinya," katanya.

Lagu ini dirakamkan dalam tempoh dua jam saja di Studio World Peace, Kota Damansara, Selangor.

Pendengar pasti terhibur dengan karya bernuansa pop dansa ini kerana ada bahagian rap dinyanyikan oleh Indah sendiri, menyuntik elemen kelainan yang dimahukan selain menjadikannya lebih unik dan peribadi.

"Selepas sekian lama saya tidak hadir dengan mana-mana lagu baharu, saya anggap ini sebagai hadiah melepaskan kerinduan peminat yang sudah lama menunggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 6:31 AM