WAFIY harap lagunya diterima baik peminat.
WAFIY harap lagunya diterima baik peminat.
Sudirman Mohd Tahir


Kalau dahulu, wajah comelnya sering membuat kita terhibur di kaca televisyen, kini penyanyi, pelakon dan pengacara TV, Wafiy muncul dengan single sulung berjudul Lupa di bawah naungan Rocketfuel Entertainment.

Wafiy, 19, atau nama sebenarnya Mohd Wafiy Ilhan Johan berkata, dia kini memilih bernaung di bawah pengurusan Rocketfuel Entertainment selepas sekian lama bergerak sendiri.

"Saya sebenarnya bermula sebagai penyanyi ketika di awal pembabitan dalam industri hiburan selepas menyertai program Ceria Popstar musim pertama pada 2013. Namun, rezeki lebih dalam bidang lakonan.

"Selama ini saya hanya bergerak sendiri tanpa mana-mana pihak pengurusan. Sekarang pada usia 19 tahun saya mengambil keputusan untuk menyertai Astro semula di mana kerjaya nyanyian saya diuruskan pihak Rocketfuel Entertainment," katanya.

Berkongsi mengenai lagu Lupa, single bergenre pop ini adalah ciptaan komposer dari negara seberang, Herdasyira sepenuhnya yang menceritakan mengenai seorang lelaki yang ditipu kekasihnya dan sukar baginya untuk melupakan bekas teman wanita kerana hatinya disakiti.

"Bercerita mengenai lagu Lupa, sebenarnya idea di sebalik pembikinannya bermula empat tahun lalu hingga saya sendiri pun hampir terlupa mengenai kewujudan lagu ini.

"Walaupun lagu ini mengenai kecurangan, saya tidak mahu 'memberatkan' lagi maksudnya kerana melodinya yang santai dan bersahaja.

"Siapa yang tidak pernah ditipu bukan? Pasti akan berasa sakit hati, namun kita sentiasa cuba untuk melupakan pengalaman itu dan terus berfikiran positif, selain hanya 'move on' dengan kehidupan," katanya,

WAFIY akhirnya melancarkan single sulung.
WAFIY akhirnya melancarkan single sulung.

Menurut Wafiy, proses rakaman single itu tidak memakan masa lama kerana dia sudah pun 'kenal' dengan jalan ceritanya dan faham apa yang dimahukan komposer bagi menghidupkan karya itu.

"Pada mulanya, tajuk lagu ini adalah Minta Ampun dan apabila dirombak semula kami bercadang untuk menukarnya kepada Lupa kerana ia lebih sesuai dengan jalan cerita yang cuba disampaikan.

"Susunan muziknya juga diberi penambahbaikan oleh Rocketfuel supaya seiring dengan trend masa kini. Lagu pop rancak ini mempunyai unsur muzik R&B dengan elemen 'easy jazz' yang santai menambah 'mood' ceria walaupun lagu ini menceritakan mengenai hati yang disakiti," katanya.

Selain itu, peminat juga berpeluang menonton lakonan Wafiy dalam MV Lupa yang mana jalan cerita mengangkat tema komedi dengan elemen kejutan di penghujungnya.

"Saya seorang yang ringkas, tetapi suka mencuba sesuatu yang baharu dan dari segi muzik pula saya mahu menjadi penyanyi versatil yang tidak terikat dengan satu genre.

WAFIY muncul dengan single sulung yang diciptakan untuknya empat tahun lalu.
WAFIY muncul dengan single sulung yang diciptakan untuknya empat tahun lalu.

"Selain bidang nyanyian, saya juga gemarkan bidang pengacaraan dan mahu meneroka bidang itu dengan lebih lagi serta cuba memperbaiki mutu pengacaraan saya dari semasa ke semasa.

"Dan kejayaan yang saya kecapi pada hari ini tidak mungkin berlaku sekiranya tiada sokongan daripada keluarga sejak mula lagi. Mereka tonggak kekuatan saya selama ini, selain peminat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 6:30 AM