DLB mempertaruhkan single pertama mereka berjudul Abang Datang yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.
DLB mempertaruhkan single pertama mereka berjudul Abang Datang yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.
Zaara Talita


Naib juara program All Together Now Malaysia (ATNM) musim pertama Dem Lepak Boy (DLB) yang dianggotai dua penari berpengalaman, Ahmad Zaidyansjah Ruddyansjah, 26, dan Meor Aiman Mukhris Mohd Sabri, 25, kini terjun ke bidang nyanyian.

Terbaharu, duo penuh dinamik itu hadir mempertaruhkan single pertama mereka berjudul Abang Datang yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.

Ahmad Zaidyansjah atau Zaidy berkata, mereka mencuba cabang seni bidang nyanyian selepas tampil sebagai naib juara ANTM dengan bakat mereka.

"Alhamdulillah, sejak menjadi naib juara ATNM ramai yang membuka mata terhadap bakat DLB.

"Mungkin pada awal kemunculan, kami hanya dikenali sebagai kumpulan penari, kini portfolio DLB bertambah kepada nyanyian." kata Zaidy.

Single Abang Datang dalam genre pop hip-hop dengan elemen 'trap' yang mendapat sentuhan barisan komposer disegani iaitu Omar K, Iqie Hugh dan John Jeeves.

Tambah Meor Aiman Mukhris atau lebih mesra disapa Hazel, single sulung mereka ini mengambil masa selama tiga minggu untuk disiapkan yang merangkumi proses rakaman dari mula sehingga akhir.

"Pihak Rocketfuel pada mulanya ada memberitahu kami mengenai lagu baharu yang sudah disiapkan dan mahukan kami menyanyikannya. Kami agak terperanjat kerana semuanya berlaku secara mengejut. Namun, kami anggap peluang yang diberikan ini sebagai rezeki.

"Sebelum masuk studio, kami terlebih dahulu mengadakan sesi 'brainstorming' demi mencari melodi yang sesuai dan 'kena' dengan cita rasa kami, maka lahir single Abang Datang," kata Hazel.

Abang Datang adalah sebuah lagu yang menceritakan mengenai individu yang sering dipandang rendah atau remeh oleh masyarakat, namun mesej yang dibawakan mengajak supaya semua bangkit dan menepis pandangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 6:45 AM