BARISAN artis terkenal tanah air yang terbabit dalam rakaman semula lagu Assalamualaikum.
BARISAN artis terkenal tanah air yang terbabit dalam rakaman semula lagu Assalamualaikum.
Zaara Talita


ROCKETFUEL Entertainment dengan kerjasama Astro tampil merakam semula lagu pernah dipopularkan Faizal Tahir berjudul Assalamualaikum sebagai tanda sokongan dan solidariti buat Palestin.

Selain berjaya menghimpunkan barisan artis terkenal tanah air, rakaman lagu berkenaan turut mengingatkan masyarakat dunia mengenai kesengsaraan dan penderitaan dialami penduduk di Gaza.

Lagu ciptaan Faizal Tahir, Audi Mok, Mike Chan, Omar K dan Ezra Kong itu diberi nafas baharu dan menampilkan nama seperti Naqiu, Tomok, Aliff Aziz, Azharina, Liza Hanim, Hady Mirza, Noryn Aziz, Jaclyn Victor dan Nikki Palikat.

Malah, artis yang bernaung di bawah pengurusan Rocketfuel Entertainment sendiri iaitu Hael Husaini, Zizan Razak, Elly Mazlein, Ara Johari, Wani Kayrie dan penampilan istimewa oleh Datuk Hattan, Mawi dan Zizi Kirana turut menyumbang pembabitan mereka.

Selain lagu, Rocketfuel Entertainment turut menghasilkan muzik video eksklusif yang menampilkan artis bawah naungan label itu seperti Dinda Dania, Timah, Idris Brown, Syazwan Suhaimi dan Agy.

Lebih istimewa, muzik video berkenaan turut menampilkan personaliti dan selebriti terkenal tempatan antaranya, Datuk Zainal Abidin Hassan, Razman Roslan, Dr Soo Wincci, Safee Sali, Daniel Fong dan ramai lagi.

FAIZAL penyanyi asal lagu Assalamualaikum.
FAIZAL penyanyi asal lagu Assalamualaikum.

Menurut Ketua Muzik & Kandungan Rocketfuel Entertainment, Syakireen Othman, hasil tontonan muzik video ini di platform Youtube akan disalurkan kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin bawah naungan Kementerian Luar Negeri.

"Sebagai tanda sokongan terhadap bencana kemanusiaan yang berlaku di Palestin, Rocketfuel Entertainment bersama-sama selebriti dan penyanyi tempatan turut terpanggil untuk bersolidariti melalui nyanyian bersama oleh artis-artisnya yang prihatin.

"Dengan mengambil pendekatan berhibur sambil menderma, segala kutipan hasil sumbangan menerusi tontonan di YouTube dan penstriman lagu atas talian akan disalurkan kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di bawah naungan Kementerian Luar Negeri," katanya.

ARA turut menyumbangkan suara.
ARA turut menyumbangkan suara.

Sementara itu, Ara yang turut menyumbangkan suara berpendapat pembabitannya bukan sekadar hiburan semata-mata sebaliknya sebagai solidariti buat rakyat Palestin.

"Ini adalah salah satu usaha kita membantu saudara kita di Palestin yang sangat memerlukan bantuan dan perhatian.

"Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, jangan lupa untuk terus memperkatakan mengenai konflik yang sedang berlaku di Gaza.

"Muzik adalah medium universal dan salah satu elemen penting dalam menyampaikan mesej dan secara langsung menunjukkan tanda solidariti dan keprihatinan kita," kata Ara.

Muzik video Assalamualaikum mula ditayangkan jam 9 malam pada 3 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 6:30 AM