FREDDIE Fernandez. FOTO Arkib NSTP
FREDDIE Fernandez. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez menyifatkan ada maklum balas positif terhadap isu empat filem milik seniwati legenda, Datuk Sarimah Ahmad yang mahu dituntutnya semula daripada seorang penerbit.

Freddie berkata, pihaknya sudah menghubungi syarikat penyiaran yang didakwa penerbit itu sudah membeli hak cipta (copy right) karya-karya filem berkenaan dan kini dalam proses semakan lanjut.

"Saya sudah menghubungi pihak stesen penyiaran itu dan mereka tengah semak sama ada filem-filem terbabit memang ada dalam simpanan, termasuk meneliti kontrak yang ditandatangani. 

"Apatah lagi, ini 30 tahun punya cerita. Jadi, kena ambil masa sikitlah untuk semak semula maklumat-maklumat itu. Namun, saya amat berterima kasih kepada syarikat penyiaran itu sebab sudi beri kerjasama.

"Mereka (syarikat penyiaran) sanggup membuat semakan terhadap filem-filem itu dan mencari sekiranya ada apa-apa sejarah hubungan antara Sarimah Production dengan pihak stesen terbabit," katanya kepada Harian Metro.

Pada masa sama, Fredddie turut menyarankan kepada golongan artis agar membaca setiap terma syarat yang ditulis dalam kontrak, termasuk memahaminya dengan jelas sebelum menurunkan tandatangan.

"Saya rasa kalau artis perlu menandatangani apa-apa perjanjian, sebelum bersetuju perlu mendapatkan khidmat nasihat peguam dan undang-undang untuk dapat semua butiran di dalam kontrak itu.

Kontrak dalam industri seni hiburan ini ada banyak seperti kontrak filem, kontrak lakonan, kontrak syarikat rakaman serta kontrak pengedar muzik yang boleh ambil 50 peratus daripada komposer dan lain-lain lagi.

"Cuma, ramai artis yang tandatangan kontrak itu, mereka sebenarnya tidak tahu apa mereka tandatangan. Termasuk, saya pun dulu pemuzik, tandatangan saja dan tak tahu langsung apa yang saya tandatangan itu," katanya.

Menurut Freddie lagi, dalam isu filem dituntut Sarimah, apa yang dilakukan sekarang kena cari di mana pita asal itu, siapa pemegangnya dan kedua, tengok perjanjian ditandatangan dengan pihak-pihak terbabit seperti stesen penyiaran.

"Kita kena kumpul semua fakta maklumat diperlukan dulu dan selepas itu barulah boleh fikirkan tindakan lain yang bakal diambil. Itu yang ketika ini saya lakukan dan berbincang.

"Saya juga amat alu-alukan kerjasama pihak Kementerian Komunikasi yang mahu turut membantu isu ini. Tapi, apa-apa pun biarlah kita cari apakah keadaan sebenarnya sebelum diteruskan dengan langkah tindakan yang lain," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan anak kelima Sarima, 82, iaitu Yusarima Yusof memberitahu dia sudah menyerahkan segala maklumat diperolehinya kepada Freddie untuk membantu mereka.

Sebelum ini dilaporkan, Sarimah memohon seorang penerbit terkenal agar mengembalikan semula pita asal empat buah filem hasil karya titik peluhnya sebagai penggiat seni yang diambil sejak 36 tahun lalu sebelum beliau menutup mata selamanya.

Sarimah berkata, pita asal empat filem disifatkan amat bermakna buat dirinya itu ialah Kabus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak yang diambil penerbit terbabit pada hari kematian suaminya.

Beliau mendakwa, sekiranya dulu filem-filem itu diambil daripadanya bagi membayar segala hutang kepada penerbit itu, takkanlah  sehingga sekarang tempohnya sudah lebih 30 tahun masih belum habis dilunaskan lagi.

Menurut Sarimah, penerbit itu juga pernah berjanji untuk pulangkan semula filem-filemnya, namun tidak ditepati.

Malah, difahamkan hingga ke hari ini penerbit berkenaan bertindak mendiamkan diri.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 5:51 PM