SARIMAH. FOTO Aziah Azmee
SARIMAH. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin

Subang Jaya: Seniwati, Datuk Sarimah Ahmad, 82, memohon seorang penerbit terkenal mengembalikan semula pita asal empat filem hasil karyanya yang diambil sejak 36 tahun lalu sebelum beliau meninggal dunia.

Sarimah ketika ditemui berkata, pita asal empat filem yang disifatkan amat bermakna buat dirinya itu ialah Kabus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak.

"Saya mohon sangat agar dia (penerbit) dapat pulangkan semula (pita asal) empat filem itu sebelum menutup mata kerana sudah 36 tahun diambil olehnya sejak hari kematian suami saya, Allahyarham Yusof Majid.

"Sekiranya dulu filem-filem itu diambil bagi membayar segala hutang kami kepada dia, tapi sehingga sekarang tempohnya sudah pun lebih 30 tahun dan takkanlah masih belum habis-habis (lunas) lagi," katanya.

Menurut Sarimah, beliau ingin sangat empat karya filem itu dikembalikan semula ke tangannya ketika masih hidup berikutan itu adalah produk karya seni yang diterbitkan produksi miliknya, Sarimah Film Production dan Sasari.

Terdahulu, Sarimah ditemui media ketika menerima kunjungan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Farhan Fauzi yang hadir ke kediamannya sempena Program Ziarah Madani, semalam.

"Saya kesal dengan tindakan penerbit itu apabila sampai ke hari ini dia gagal memulangkan filem-filem saya yang diambilnya itu selepas kali terakhir kami bertemu 36 tahun lalu dan hingga kini terus berdiam diri tanpa sebarang khabar berita.

"Dia pernah berjanji (pulangkan semula) tapi mengapa tidak ditepati. Ambil kesemua pita asal filem itu yang mungkin masih ada di dalam simpanannya dan terus diamkan diri. Itu hak saya, hasil titik peluh saya dan tolong pulangkan balik.

"Saya hanya minta agar dipulangkan saja pita asal filem itu kerana hak saya. Semua dosa dan kesalahan anda, saya sudah maafkan dunia akhirat. Cuma, kembalikan hasil titik peluh saya," katanya.

Menurut pelakon utama filem Madu Tiga itu, penerbit berkenaan bersama seorang rakannya umpama mengambil kesempatan apabila datang dan meminta beliau menandatangani satu dokumen pada hari suaminya meninggal dunia.

"Ketika itu, fikiran saya dalam keadaan sangat bercelaru kerana arwah suami baru meninggal dunia dan jenazahnya menunggu masa untuk disolat dan dikafankan. Jadi, masa itu saya memang tak dapat nak fikir dengan jelas.

"Saya tahu ada perkara lain yang pihaknya (penerbit itu) tidak jelaskan kepada saya. Tapi, apa pun keadaannya, dia perlu menepati janji untuk memulangkan kesemua pita filem yang sudah lama diambil itu kepada saya semula.

"Saya bukan mengejar bayaran, cuma macam dikatakan filem-filem itu adalah hasil titik peluh saya, wang saya sebagai penggiat seni. Disebabkan filem itu jugalah, saya pernah menanggung hutang dan jatuh muflis sebelum ini kerana menjadi penjamin bagi mendapatkan pinjaman bank untuk menghasilkannya," katanya.

Sarimah berkata, beliau berharap dengan pendedahan dan luahan dibuatnya selepas menyimpan lama rahsia itu dapat dibantu Kementerian Komunikasi menerusi menterinya, Fahmi Fadzil bagi mendapatkan haknya semula.

Allahyarham Yusof adalah suami kedua Sarimah dan meninggal dunia pada 1988. Dua daripada enam anak Sarimah adalah hasil perkongsian hidupnya bersamanya iaitu Yusarima, 53, dan Yusari Amir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 11:00 AM