Yusarima
Yusarima
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Anak kelima seniwati legenda, Datuk Sarimah Ahmad, 82, iaitu Yusarima Yusof tidak terus menunggu tindakan dilakukan pihak berkaitan bagi membantu mendapatkan semula pita asal empat filem milik ibunya yang dituntut daripada seorang penerbit.

Yusarima, 53, dihubungi berkata, sehingga kini apa yang dimaklumkan ibunya, masih tiada wakil daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Komunikasi yang menghubungi mereka.

"Saya difahamkan oleh emak, sampai sekarang masih tiada wakil daripada pihak berkaitan menghubunginya sebagaimana yang kami baca berdasarkan laporan media.

"Tapi, tak apalah sebab saya pun tidaklah terus menunggu saja tindakan mereka kerana berusaha sendiri mengumpulkan pelbagai maklumat penting yang diperlukan, termasuk dapatkan khidmat nasihat peguam.

"Alhamdulillah, ramai yang sayangkan emak saya dan banyak juga orang dalam industri seni nak membantu kami. Jadi, saya terus optimis dan positif saja dalam menguruskan hal ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Yusarima, dia akan terus berusaha apa yang termampu walaupun banyak kekangan, tapi sentiasa berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segalanya dan lancar.

"Setakat ini, semua maklumat yang sudah ada dan terkumpul saya serahkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia menerusi Presiden, Datuk Freddie Fernandez yang ingin membantu kami.

"Apa yang dibuat dan cuba usahakan ini untuk menunaikan impian emak saya yang masih hidup bagi mendapatkan semula hak filem miliknya yang menjadi hasil titik peluh bersama arwah bapa saya, Allahyarham Yusof Majid.

"Kami inginkan pita asal empat filem itu bukan sebab duit. Emak saya tak ada fikir langsung untuk duit, tapi hanya nak penerbit berkenaan memulangkan semula filem-filem hak emak yang diterbitkan Sarimah Production, itu saja," katanya.

Yusarima berkata, perkara itu juga sudah berlaku 36 tahun lalu di hari kematian bapanya, Yusof pada 1988 dan kini harapan mereka sekeluarga hanya inginkan pita asal filem itu dikembalikan semula kepada ibunya.

Terdahulu, Harian Metro sebelum ini melaporkan Sarimah memohon seorang penerbit terkenal agar mengembalikan semula pita asal empat buah filem hasil karya titik peluhnya sebagai penggiat seni yang diambil sejak 36 tahun lalu sebelum beliau menutup mata selamanya.

Sarimah berkata, pita asal empat filem disifatkan amat bermakna buat dirinya itu ialah Kabus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak yang diambil penerbit terbabit pada hari kematian suaminya.

Beliau mendakwa, sekiranya dulu filem-filem itu diambil daripadanya bagi membayar segala hutang kepada penerbit itu, takkanlah sehingga sekarang tempohnya sudah lebih 30 tahun masih belum habis dilunaskan lagi.

Menurut Sarimah, penerbit itu juga pernah berjanji untuk pulangkan semula filem-filemnya, namun tidak ditepati.

Malah, difahamkan hingga ke hari ini penerbit berkenaan bertindak mendiamkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 3:30 PM