AZMIR Saifuddin. FOTO Arkib NSTP
AZMIR Saifuddin. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib memaklumkan sudah mengadakan pertemuan dengan Datuk Sarimah Ahmad bagi menyelesaikan isu berkaitan pita asal empat filemnya yang diambil oleh satu pihak lain.

Azmir berkata, pertemuan yang dibantu oleh Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez ini berlangsung di kediaman seniwati terbabit di Subang Jaya, Rabu lalu.

"Saya dah bertemu dengan Datuk Sarimah ditemani oleh Datuk Freddie Fernandez. Beliau banyak bantu bagi maklumat berkaitan isu ini.

"Dalam pertemuan itu, Datuk Sarimah ceritakan semua yang berlaku dan saya faham semuanya. Finas dan Karyawan nak bantu selagi boleh.

"Minggu depan saya nak jumpa dengan syarikat yang pegang mastercopy keempat-empat filem ini. Memang ada dalam tangan mereka," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Finas tahu filem-filem ini ditayangkan di stesen TV sebelum ini dan dari situ mereka boleh mengesan syarikat yang memberi penyiaran itu kepada TV.

"Saya nak dapatkan butiran lanjut mengenai kontrak yang ditandatangani itu. Umpamanya ada pihak kedua (orang tengah) yang jual kepada syarikat itu.

"Syarikat itu akan beri kerjasama kepada Finas. Kedua-dua pihak nak bincang cara terbaik. Mereka ada banyak judul-judul filem dan edarkan serta siarkan kepada mana-mana pempamer.

"Bagi saya mereka tak salah. Mereka ikut prosedur dapatkan mastercopy itu. Saya akan jumpa mereka tengok kontrak, baru boleh panggil semua pihak.

"Menteri (Fahmi Fadzil) pun dah cakap nak bantu menerusi Kementerian Komunikasi, jadi kemungkinan pihak kedua dan syarikat itu akan dibawa jumpa menteri atau kementerian untuk selesaikan cara elok," katanya.

Terdahulu Sarimah, 82, memohon seorang penerbit terkenal mengembalikan semula pita asal empat filem hasil karyanya yang diambil sejak 36 tahun lalu sebelum beliau meninggal dunia.

Pita asal empat filem yang disifatkan amat bermakna buat dirinya itu ialah Kabus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 2:52 PM