Anak perempuan Sarimah, Yusarima Yusof.
Anak perempuan Sarimah, Yusarima Yusof.
Norhayati Nordin


Subang Jaya: Anak kelima seniwati legenda, Datuk Sarimah Ahmad iaitu Yusarima Yusof, 53, menghormati luahan hati ibunya yang memohon seorang penerbit filem memulangkan semula pita asal empat filem terbitan pelakon itu yang diambil 36 tahun lalu.

Yusarima berkata, perkara itu sudah dipendamkan terlalu lama selepas kematian bapanya, Allahyarham Yusof Majid pada 1988.

Katanya, apa yang didedahkan ibunya itu adalah wajar kerana hak milik harta intelek filem yang dihasilkan beliau iaitu Kabus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak itu dengan pelbagai kepayahan dilalui bersama Allahyarham suami masih tiada dalam genggaman meskipun lebih 30 tahun berlalu.

"Setiap kali filem-filem itu ditayangkan di televisyen dan emak menontonnya, pasti dia akan menangis mengenangkan segala kepayahan pernah dilaluinya bersama arwah ayah dulu.

"Sebagai anak, saya juga sedih melihat keadaan emak yang menangis kerana tahu bukan senang filem-filem itu dihasilkannya. Banyak pengorbanan dibuat, termasuk wang royalti daripada tayangan filem berkenaan tidak pernah diterimanya hingga kini walaupun penerbitnya adalah Sarimah Film Production dan Sasari," katanya.

Menurut Yusarima, dengan luahan dibuat ibunya itu sudah tentu lebih menenangkan hati Sarimah kerana apa yang nak dituntut semula adalah filem-filem hak milik hasil titik peluh beliau sebagai penggiat seni.

"Saya pun tak sangka emak nak dedah dan luahkan juga mengenai perkara ini kerana selama ini dia hanya simpan di hati saja. Saya menghormati tindakan emak kerana apa yang diluahkan itu atas kehendaknya sendiri.

"Tujuan emak juga, hanya nak dapatkan balik pita asal empat filem itu daripada penerbit berkenaan agar dia memulangkan kembali kepadanya sebagaimana yang dijanjikan dulu selagi emak masih hidup.

"Saya mohon pulangkanlah hak emak saya dan juga saya berharap pendedahan serta luahan emak akan mendapat perhatian daripada Kementerian Komunikasi dan menteri, Fahmi Fadzil untuk membantu kami mencari penyelesaian sepatutnya bagi mendapatkan hak ke atas filem-filem itu semula," katanya.

Yusarima berkata, filem Dia Ibuku yang sebenarnya sangat meninggalkan kesan mendalam di hati ibunya, Sarimah yang disifatkan memiliki nilai sentimental tinggi kepada pelakon utama filem Madu Tiga dan Ibu Mertuaku itu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Sarimah memohon seorang penerbit terkenal agar mengembalikan semula pita asal empat buah filem hasil karya titik peluhnya sebagai penggiat seni yang diambil sejak 36 tahun lalu sebelum beliau menutup mata selamanya.

Sarimah berkata, pita asal empat filem disifatkan amat bermakna buat dirinya itu diambil penerbit terbabit pada hari kematian suaminya pada 1988.

Beliau mendakwa, sekiranya dulu filem-filem itu diambil daripadanya bagi membayar segala hutang kepada penerbit itu, takkanlah sehingga sekarang tempohnya sudah lebih 30 tahun masih belum habis dilunaskan lagi.

Menurut Sarimah, penerbit itu juga pernah berjanji untuk pulangkan semula filem-filemnya, namun tidak ditepati hingga ke hari ini serta terus menyepi diri dan beliau mengakui amat mengesalinya.

Sebelum itu, Sarimah ditemui media ketika menerima kunjungan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Farhan Fauzi yang hadir ke kediamannya sempena Program Ziarah Madani.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 3:07 PM