SARIMAH masih lakukan senaman ringan setiap malam walaupun sarat mengandung 8 bulan.
SARIMAH masih lakukan senaman ringan setiap malam walaupun sarat mengandung 8 bulan.
Ramlah Zainal


SEBAGAI anak sulung daripada empat beradik yang semuanya lelaki, pastinya pelakon dan pengacara jelita Sarimah Ibrahim mengimpikan kehadiran cahaya mata perempuan.

Oleh itu, kehadiran bayi perempuan yang dijangka bakal dilahirkan pada Julai nanti pastinya menyerikan kebahagiaan rumah tangganya dan suami, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar.

Menurut Sarimah, 41, dia bersyukur kerana persoalan mengenai jantina bayinya sama ada lelaki atau perempuan akhirnya selesai.

“Alhamdulillah, semuanya sudah terjawab. Sebenarnya, saya agak terkejut apabila dapat tahu bakal menimang anak perempuan. Maklumlah, saya dibesarkan dalam empat beradik yang semuanya lelaki dan sangat teruja menantikan anak perempuan dalam keluarga.

“Suami pula tidak kisah sama ada kami akan dapat anak lelaki atau perempuan kerana yang penting bayi yang dilahirkan itu sihat dan cukup sifatnya,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman jantina bayi dan pelancaran kedai rasminya di Shopee di Damansara Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Sarimah, dia dan suami sangat teruja menantikan kehadiran cahaya mata pertama yang dinantikan selama ini.

“Kami memang mahu mengumumkan jantina bayi kami dan pastinya berita yang terbaik untuk dikongsi sempena Ramadan ini. Saya juga teruja bakal mendapat anak perempuan kerana banyak aktiviti yang kami boleh lakukan bersama seperti fesyen dan alat solek nanti,” katanya.

Ditanya mengenai kesihatan kandungannya pula, kata Sarimah, setakat ini, usia kandu­ngannya yang mencecah lapan bulan itu sihat tanpa sebarang masalah.

“Kalau boleh memang saya mahu bersalin secara normal tetapi ia belum diputuskan lagi. Ia juga bergantung pada keadaan kesihatan kandungan nanti. Setakat ini, doktor beritahu bayi kami berada dalam keadaan mengiring,” katanya.

SARIIMAH dan suami Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam
SARIIMAH dan suami Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam

TERUSKAN AKTIVITI SENAMAN

Walaupun sarat mengandung lapan bulan, Sarimah tetap meneruskan aktiviti senaman sehingga menjelang kelahiran bayinya pada Julai nanti.

Menurutnya, aktiviti senaman yang sesuai dilakukan mengikut nasihat doktor.

“Saya juga masih melakukan senaman ringan setiap malam dan pastikan makanan yang diambil penuh dengan protein, kalsium dan kurang gula mengikut nasihat doktor.

“Senaman dan menjaga pemakanan juga rahsia untuk saya kekal bertenaga dan memudahkan proses kelahiran bayi nanti,” katanya.

Sarimah berkahwin dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau Tunku Jamie pada 2 April 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 6:00 AM