Ridzuan Abdul Rahman


Subang Jaya: Seniwati terkenal Datuk Sarimah Ahmad bersyukur dipanjangkan umur apabila menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-80 pada hari ini.

Pelakon era Studio Jalan Ampas, Singapura ini berkata, tiada apa-apa rahsia diamalkan kecuali dirinya banyak bersyukur dalam hidup.

"Saya sentiasa reda dan sabar serta kemudian serahkan diri kepada Allah sepenuhnya.

"Tak lupa juga setiap kali menyambut ulang tahun kelahiran, saya akan hadiahkan diri sendiri dengan khatam Quran.

"Saya dah khatam Quran banyak kali tapi setiap kali sambut ulang tahun kelahiran saya pasti akan lakukan perkara ini," katanya dalam pertemuan secara eksklusif dengan Harian Metro yang diaturkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Karyawan yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Freddie Fernandez hadir bersama ahli jawatankuasanya terdiri dari Datin Paduka Julie Sudiro, Ahmad Abdullah dan penyanyi Rozita Rohaizad hadir meraikan ulang tahun kelahiran Sarimah yang juga Penasihat Seumur Hidup Karyawan.

Sarimah dikunjungi Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez (kiri) di USJ, Subang Jaya.
Sarimah dikunjungi Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez (kiri) di USJ, Subang Jaya.

Pelakon yang dikenali menerusi filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee antaranya Madu Tiga dan Ibu Mertuaku ini mula mengamalkan membaca Al-Quran sepenuhnya ketika memasuki usia 50-an.

"Memang saya sentiasa berusaha khatam Quran dan tak pernah berhenti. Dari segi pemakanan, semasa muda saya makan banyak tapi bila dah berumur begini saya kurang makan bukan kerana nak kurus tapi sebab selera makan dah kurang.

"Saya juga suka amalkan makan buah sebelum sarapan dan sebelum mula makan. Apa-apa jenis buah tak kisah seperti betik dan buah naga. Tak terkecuali kurma Ajwa walaupun luar bulan Ramadan," katanya yang tidak mempunyai sebarang penyakit serius.

Menurutnya, ramai pihak yang mahu mengunjunginya hari ini namun ditolak secara baik atas faktor privasi.

"Beginilah saya, entahlah mungkin kerana faktor umur. Selama ini rasa terlalu sibuk masa muda. Saya hidup seadanya sahaja sekarang.

"Kadang-kadang terasa sedih juga, mula-mula masuk dalam bidang seni situasinya memang teruk sampai sekarang. Setiap kali filem saya ditayangkan kita tiada royalti. Habuk pun tiada.

"Kalau sekiranya mereka nak bagi katalah RM50 setiap kali filem saya ditayangkan, bayangkan berapa banyak boleh dapat," katanya.

Sarimah juga berkata, dia jarang menonton filem lakonannya kerana akan rasa sedih.

"Sebabnya pelakon yang lain dah meninggal dan hanya saya seorang yang masih ada.

"Saya sedekahkan Al-Fatihah buat mereka. Macam pelakon filem Madu Tiga semua dah tiada. Terasa kehilangan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 9:58 PM